Carian
HTC
HTC U24 Pro Dilancarkan Dengan Snapdragon 7 Gen 3
June 12, 2024 Effi Saharudin

HTC U24 Pro dilancarkan secara rasmi di Taiwan semalam dengan ia bukan peranti mercu yang mungkin diharapkan oleh sesetengah pembaca di Amanz. Peranti ini dilengkapi skrin 6.8″ OLED 120Hz, dijana cip Snapdragon 7 Gen 3, memori sebesar 12 GB LPDDR5 RAM, storan sehingga 512 GB UFS 3.1 dan bateri sebesar 4,600mah. Bateri menyokong pengecasan pantas 60W berwayar, nirwayar 15W dan berbalik 5W.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 8MP dan telefoto 50MP. Di hadapan pula sekali lagi sensor 50MP digunakan pada kamera swafoto. Dengan konfigurasi kamera ini, peranti boleh melakukan rakaman video sehingga resolusi 4K.

Peranti turut menggunakan sistem operasi Android 14. Masih terdapat bicu audio 3.5mm dan juga sistem speaker stereo. Sistem pengimbas cap jari disertakan pula di bawah skrin peranti. Panel belakang diperbuat daripada kaca dengan bonggol kamera yang sederhana ketinggiannya.

Harga jualan HTC U24 Pro ialah TWD 18,990 (~RM2769) untuk model 12/256 GB dan TWD 20,999 (~RM3061) untuk model 12/512 GB dalam warna Space Blue serta Twilight White. Pada ketika ini peranti hanya ditawarkan di pasaran Taiwan.

Komen