Carian
Micron Memperkenalkan Memori GDDR7 Untuk Kegunaan Kad Grafik Generasi Baru Dan AI
June 12, 2024 Nazrin

Pelbagai syarikat teknologi seperti NVIDIA dan AMD dijangka akan memperlihatkan penawaran kad grafik terbaru mereka untuk tujuan gaming dan juga kecerdasan buatan tidak lama lagi. Untuk teknologi grafik terbaru ini, mereka akan menggunakan memori GDDR7 yang terbaru.

Micron dilihat sebagai salah satu daripada syarikat memori terawal yang memperkenalkan memori GDDR7 mereka sendiri, dan ia dijangka akan digunakan oleh pelbagai rakan pembangun teknologi grafik dan kecerdasan buatan mereka pada penghujung tahun ini.

Setiap cip memori GDDR7 Micron dilihat tampil dengan memori 16Gb dengan kelajuan penghantaran data 32Gb/s dengan kelebaran jalur sistem sepantas 1.5TB/s yang mana ia adalah 60 peratus lebih pantas berbanding dengan memori GDDR6. Micron juga mengatakan bahawa penggunaan tenaga elektrik memori GDDR7 ini adalah 50 peratus lebih cekap berbanding generasi sebelumnya, disamping mengurangkan penggunaan tenaga elektrik secara lalai sebanyak 70 peratus.

Micron turut menjangkakan bahawa kad grafik yang menggunakan memori GDDR7 mereka akan memperlihatkan peningkatan prestasi sebanyak 30 peratus dari segi kadar bingkai yang dibangunkan pada resolusi setinggi 4K. Dalam pada itu, lengah masa untuk pemprosesan tugasan kecerdasan buatan tempatan juga dapat direndahkan sebanyak 20 peratus, manakala olahan imej, teks dan sebagainya akan memperlihatkan peningkatan prestasi sebanyak 33 peratus.

Micron sudahpun mempunyai beberapa rakan pembangun dengan AMD dan Cadence yang dilihat akan menggunakan dan menguji teknologi memori GDDR7 ini pada produk-produk mereka sekitar penghujung tahun ini.

Komen