YouTube hari ini mengumumkan ciri menggunakan sehingga tiga imej kecil (thumbnail) pada video mula diberikan kepada semua pengguna. Ciri ini mula diberikan kepada pengguna terpilih sahaja sejak tahun lalu. Menerusinya pemilik saluran boleh meletakkan sehingga tiga imej kecil untuk setiap video.
YouTube kemudian akan memaparkannya secara rawak di laman. Ujian imej kecil dilakukan dalam tempoh 2 ke 14 hari bergantung kepada video yang dimuat naik. Selepas tempoh tersebut, imej yang menjana tontonan tertinggi akan dipilih sebagai imej lalai untuk video selama-lamanya. Pemilik saluran juga boleh melihat peratusan penonton memilih imej tertentu dari dalam YouTube Studio untuk analisa lebih mendalam.
Ciri diberikan secara berperingkat kepada semua pemilik saluran dalam masa beberapa minggu mendatang. Untuk menggunakannya juga, pemilik saluran perlu mengaktifkan ciri “Intermediate features” menerusi tetapan YouTube Studio saluran. Pada waktu yang sama kemampuan memuat naik tiga imej kecil ini hanya boleh diakses menerusi laman web sahaja.