Carian
NVIDIA Menjual 3.76 Juta GPU Pusat Data Sepanjang 2023 – Memegang 98 Peratus Pasaran GPU AI
June 12, 2024 Nazrin

2023 ialah tahun dimana permintaan untuk kuasa pemprosesan kecerdasan buatan telah melonjak dengan kadar yang sangat mendadak sekali. NVIDIA khususnya, melalui adikomputer DGX H100 mereka memperlihatkan permintaan yang cukup tinggi sekali, sehinggakan inventori pemproses grafik mereka tidak menampung permintaan yang menggunung oleh pelbagai syarikat pembangun teknologi AI.

Laporan kewangan NVIDIA terkini memperlihatkan bahawa pada tahun 2023, syarikat tersebut telah menjual sebanyak 3.76 juta GPU pusat data yang terdiri daripada DGX H100 dan A100. Jumlah jualan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, khususnya apabila syarikat-syarikat seperti OpenAI, Stability AI dan sebagainya banyak menggunakan GPU NVIDIA untuk tujuan pembelajaran mesin dan pemprosesan inferens untuk perkhidmatan AI mereka.

GPU NVIDIA H100

Menurut laporan HPCwire, jualan kad grafik pusat data NVIDIA adalah sangat tinggi sehingga jenama tersebut kini memegang 98 peratus pasaran GPU AI, walaupun Intel dan AMD juga tampil dengan penawaran kad grafik pusat data mereka sendiri seperti Intel Gaudi dan AMD Instinct.

Walaupun begitu, ia juga dilaporkan bahawa sehingga kini, permintaan untuk komponen pemprosesan AI masih lagi berada pada tahap yang tinggi dan tidak mencukupi, walaupun NVIDIA telah memperkenalkan kad grafik pusat data B100 dan B200 yang menggunakan cip grafik NVIDIA Blackwell terbaru mereka.

Ia dijangka bahawa permintaan untuk kuasa pemprosesan sebegini akan meningkat dari suku ke suku sepanjang tahun kewangan ini dengan betapa pesatnya teknologi AI sedang dibangunkan sekarang.

Komen