Carian
Jabra Akan Menamatkan Jualan Model Fon Telinga Elite Dan Talk Mereka
June 12, 2024 Nazrin

Jabra, jenama pembuat kelengkapan audio produktiviti baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan dan mengatakan bahawa mereka telah membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran dua daripada model fon telinga mereka, iaitu Jabra Elite dan juga Jabra Talk.

Jabra mengatakan walaupun jualan siri fon telinga Jabra Elite boleh dianggap sebagai menguntungkan, jumlah pelaburan yang diperlukan untuk terus membangunkan fon teling dalam siri premium ini adalah tidak mampan untuk jangka masa yang mampan, khususnya untuk sektor audio ini yang dilihat semakin sengit persaingannya diantara jenama-jenama audio yang lain.

Perkara yang sama dilihat untuk siri Jabra Talk, dimana permintaan untuk fon telinga Bluetooth mono semakin berkurangan, khususnya apabila ia hanya digunakan oleh syarikat-syarikat berpaksikan perkhidmatan pelanggan dan sebagainya.

Jabra juga mengesahkan bahawa kedua-dua model fon telinga ini akan ditamatkan jualannya dan akan dialihkan dari inventori pembekal menjelang penghujung tahun 2024. Model-model Jabra Elite 8 Active Gen 2 dan Jabra Elite 10 Gen 2 adalah dua model terbaru dan terakhir yang akan diperkenalkan dalam siri ini.

Fon telinga Jabra Talk tidak akan memperlihatkan model baru dan sama seperti siri Jabra Elite akan ditamatkan jualannya pada penghujung tahun ini.

Walaupun begitu, Jabra juga memberikan kepastian kepada pelanggan sedia ada dengan mengatakan bahawa mereka masih akan memberikan khidmat sokongan pelanggan untuk beberapa tahun akan datang sekiranya mereka mempunyai sebarang isu dengan produk-produk Jabra yang dimiliki mereka.

Komen