Carian
Prototaip Komputer Riba Linux Yang Dikuasakan Qualcomm Snapdragon X Elite Diperlihatkan
June 13, 2024 Nazrin

Pelancaran siri cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X telah memperlihatkan banyak penawaran yang menggunakan komputer riba dengan sistem operasi Microsoft Windows 11, khususnya dengan teknologi kecerdasan buatan terbina yang menjanjikan peningkatan produktiviti.

Di acara Computex, Taipei yang berlangsung pada minggu lepas, terdapat sebuah syarikat teknologi yang telah memperlihatkan prototaip komputer riba mereka yang menggunakan cip pemprosesan yang sama, tetapi akan menggerakkan sistem operasi Linux.

Syarikat ini dinamakan Tuxedo, dan merupakan sebuah anak syarikat Schenker Technologies yang juga memiliki sebuah lagi syarikat pembuat komputer riba, iaitu XMG dari negara Jerman. Tuxedo dilihat sebagai sebuah syarikat yang memfokuskan terhadap pembangunan komputer riba yang menggunakan sistem operasi sumber terbuka Linux.

Dari segi spesifikasi, komputer riba prototaip ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi 2560×1600, dan memperlihatkan penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite, bersama-sama memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan juga satu ruangan untuk storan SSD PCIe 4.0. Rangka komputer riba ini diperbuat daripada aluminum, dan mempunyai palam-palam seperti USB Type-A, USB Type-C dan juga HDMI.

Jika anda tertanya-tanya samada adakah versi Linux yang boleh digerakkan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X, jawapan ringkasnya ialah tidak. Buat masa ini, sistem operasi tersebut untuk siri cip pemprosesan masih lagi sedang dibangunkan, dan Qualcomm juga telah mengatakan bahawa sokongan untuk sistem operasi tersebut baru sahaja diperkenalkan.

Tuxedo menjangkakan bahawa ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk melihat sistem operasi Linux pertama yang menyokong cip pemprosesan ini, tetapi tidak terlalu risau mengenainya kerana kemaskini sokongan untuk cip pemprosesan baru secara lazimnya tidak akan memakan masa yang terlalu lama.

Malah, prototaip komputer riba Tuxedo ini diperlihatkan menggunakan Debian for ARM, cuma isunya ialah ia tersangkut dalam isu bootloop dan tidak dapat mengakses laman desktop.

Pihak Tuxedo tidak menjanjikan bilakah mereka akan mula menjual komputer riba ini, tetapi memberi jangkaan bahawa mereka berharap untuk mula menawarkannya sekitar penghujung tahun ini.

Komen