Carian
Peserta Pertandingan Gambar AI Dibatalkan Kelayakan Kerana Menggunakan Foto Sebenar
June 13, 2024 Nazrin

Tatkala penggunaan AI generatif semakin menular, banyak pertandingan kreatif seperti rekaan seni, fotografi dan sebagainya kini sering dikerumuni penggiat seni AI yang menggunakan prompt untuk menghasilkan kerja seni dan bukan usaha sendiri.

Terbalik pula ceritanya apabila kali ini apabila ia telah dilaporkan bahawa seorang peserta kategori AI untuk pertandingan 1839 Color Photography Awards, Miles Astray telah dilucutkan kemenangannya apabila beliau menggunakan gambar foto sebenar seekor burung flamingo yang diambilnya menggunakan sebuah kamera.

Dengan gambar foto ini, beliau telah ditempatkan di tempat ketiga didalam kategori tersebut, dan memenangi anugerah undian orang ramai. Miles mengatakan bahawa beliau menyertai pertandingan ini untuk menunjukkan bahawa usaha yang tekun dan pengalaman sebenar masih lagi lebih baik daripada apa yang boleh ditawarkan melalui AI, dan beliau nampaknya telah berjaya melakukannya.

Apa yang lebih menarik lagi ialah pertandingan ini masih lagi menggunakan hakim-hakim profesional dari New York Times, Getty Images dan Maddox Gallery yang menyangkakan bahawa ia adalah sebuah hasil kerja AI yang sangat baik sekali.

Para hakim pertandingan tersebut mengatakan bahawa mereka faham apa yang cuba diketengahkan oleh Miles, tetapi beliau masih perlu dibatalkan penyertaannya kerana melanggar peraturan pertandingan tersebut.

Komen