Carian
Meitu Ingin Menjana Pendapatan Dengan Aplikasi AI Bukan Melesenkan Model AI Mereka
June 13, 2024 Fahim Zahar

Meitu adalah antara syarikat teknologi China yang sudah lama menggunakan teknologi AI. Antara teknologi AI mereka yang popular adalah mod kecantikan pada aplikasi kamera. Selepas Meitu keluar daripada perniagaan telefon pintar, mereka kini fokus kepada pembangunan kecerdasan buatan untuk aplikasi yang memudahkan pengguna. Terbaru, CEO Meitu iaitu Wu Xinhong menyatakan mereka ingin menjana pendapatan melalui aplikasi AI bukan melesenkan model AI mereka.

Meitu kini mempunyai banyak aplikasi dan perkhidmatan berasaskan AI. Antaranya adalah Meitu dan Whee yang masing-masing menggunakan model bahasa raya Qixiang. Terdapat produk baharu yang dilancarkan iaitu;

  • MOKI – Seakan Sora tetapi fokus kepada menjana kandungan animasi, komik, dan lain-lain.
  • Meitu Cloud Retouching V2 – Menambah baik gambar melalui pelayar web.
  • Open Shoot V2 – Menjana video bercakap dengan AI.
  • Meitu Design Studio V3: Aplikasi rekaan menggunakan AI.
  • ZCOOL Design Service – Perkhidmatan rekaan berasaskan AI.
  • Qimi – Perkhidmatan menjana iklan untuk permainan video menggunakan AI.

Model Qixiang yang digunakan telah dikemaskini ke versi kelima dengan teknologi DiT iaitu seakan Sora yang menggunakan Transformer diffusion. Kebanyakan aplikasi Meitu ini turut ditawarkan di peringkat global dan tidak terhad di China sahaja. Meitu turut ingin memfokuskan menjana pendapatan melalui setiap aplikasi dan perkhidmatan AI mereka berbanding melesenkan Qixiang kepada syarikat lain kerana menyedari permintaan aplikasi lebih tinggi daripada pengguna

Meitu mempunyai pelbagai model AI termasuk untuk menjana video, imej, rekaan dan bahan-bahan untuk pemasaran. Selain Qixiang, ZCOOL, RoboNeo dan MircacleVision adalah model lain yang diintegrasikan dalam pelbagai aplikasi dan perkhidmatan. Wu Xinhong turut menambah yang di China 83% aplikasi suntingan imej adalah berasaskan teknologi AI generatif. Di Malaysia, anda boleh muat turun aplikasi Meitu dan melanggan pelan VIP untuk RM119.90 setahun atau RM23.90 sebulan.

Komen