Carian
Kerajaan Akan Mengkaji Adaptasi Teknologi Daging Kultur Dan Makanan Berasaskan Sel
June 13, 2024 Nazrin

Keterjaminan makanan ataupun food security adalah sebuah topik yang cukup penting untuk kemaslahatan sesebuah negara kerana simpanan makanan untuk rakyat diperlukan sekiranya insiden kebuluran berlaku untuk pelbagai sebab.

Hari ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang pertama bersama-sama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negara, Mohamad Sabu.

Selain daripada isu keterjaminan makanan negara, beberapa topik lain yang dibincangkan juga ialah tentang kajian untuk pengadaptasian teknologi dan penerokaan potensi makanan masa hadapan seperti daging kultur, hasil daging kultur dan cell-based food. Ini termasuklah penyelidikan berkaitan makanan protein yang dibangunkan didalam makmal, seperti apa yang sudahpun mula dibangunkan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura.

Bagi anda yang mungkin baru mendengar tentang makanan berasaskan sel, secara ringkasnya ia merupakan “daging” yang dibangunkan menggunakan sel-sel haiwan didalam makmal. Daripada menggunakan tumbuhan sebagai “pengganti” protein daging, ia masih lagi dilihat sebagai “daging tulen” yang mengurangkan keperluan untuk menyembelih haiwan untuk tujuan makanan.

Selain daripada itu, kerajaan juga berniat untuk memodenkan sektor pertanian negara melalui pembangunan kilang tanaman akan menyokong pertumbuhan industri teknologi pertanian bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang lestari sebagai alternatif kepada pengeluaran tanaman semasa.

Kesemua idea-idea untuk memajukan teknologi makanan ini adalah bertujuan untuk memastikan kesiap-siagaan negara dalam melestarikan bekalan makanan negara supaya kita tidak menghadapi masalah kekurangan makanan bila-biila sahaja isu kebuluran makanan berlaku.

Ia dijangka bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negara akan memperkenalkan sejumlah program untuk memulakan proses keterjaminan makanan di seluruh peringkat.

Komen