Carian
Ulasan Sonos Ace – Boleh Beli Kalau Dapat Bonus
June 14, 2024 Effi Saharudin

Sonos Ace ialah fon kepala pertama daripada Sonos dengan ia amat dinantikan oleh peminat audio. Saya telah menggunakan Sonos Ace selama tiga minggu dan saya boleh katakan sekarang bahawa ia fon kepala terbaik pernah saya ulas setakat ini. Jadi adakah ia masih berbaloi dimiliki pada harga jualannya yang amat premium di Malaysia?

SPESIFIKASI

Sonos Ace
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu40mm
MikrofonLapan mikrofon
Bateri1060 mAh
Sehingga 30 jam dengan ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
SambunganBluetooth 5.4
Kabel 3.5mm
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Butang kawalanKawalan suara
Kuasa
ANC/Mod Tembus
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 2299

REKAAN Dan PENGGUNAAN

Sonos Ace ialah antara fon kepala yang paling bergaya di pasaran dengan ia memang nampak seperti sepasang fon kepala premium. Bahagian angkup kepala mempunyai pelapik lembut busa memori dengan kulit vegan yang membuatkannya selesa apabila dipakai. Tangkai logam menyambungkan angkup kepala kepada dua cawan telinga yang diperbuat daripada plastik dengan kemasan tidak berkilat. Ia mirip kemasan yang digunakan pada Sony XM5 yang tidak mudah memerangkap kotoran.

Cawan telinga boleh diputarkan 90 darjah untuk disimpan rata di dalam bekas simpanan yang diberikan. Proses melaraskan saiz angkup kepala adalah amat mudah. Ia tidak terlalu ketat atau longgar. Sepanjang tempoh ulasan Ace sangat selesa untuk dipakai dengan kepala tidak terasa seperti dikepit selepas digunakan untuk tempoh yang lama.

Kerana ia tidak begitu ketat, bunyi dari luar masih boleh memasuki kebuk cawan telinga. Ini bukan yang paling ideal tetapi diperlukan bagi membolehkan telinga “bernafas”. Apa gunanya bunyi luar dihalang sepenuhnya tetapi telinga berpeluh-peluh?

Butang kuasa dan port pengecasan USB-C diletakkan pada cawan telinga kiri. Kemudian butang laras audio merangkap pengawal media serta butang ANC/mod tembus diletakkan pada cawan telinga kanan. Kesemua butang kawalan adalah dari jenis fizikal pada Sonos Ace. Saya harus mengaku kurang gemar dengan kedudukan butang laras audio di telinga kanan. Ia terlalu tinggi sehingga kerap kali apabila ingin mengubah kelantangan audio atau melangkau muzik (butang ini juga boleh ditekan) saya tertekan butang ANC yang berada di bawahnya.

Saya sudah dibiasakan dengan ASUS ROG Delta S, Razer Black Shark V2 Pro dan SteelSeries Arctis Nova 7 yang meletakkan butang/roda laras audio pada kedudukan yang lebih ergonomik. Kerana Ace ialah fon kepala pertama Sonos, saya boleh memaafkan kekhilafan ini. Diharap pada fon kepala seterusnya kedudukan butang ini diubah.

Amat mudah untuk membezakan cawan telinga kanan dan kiri pada Sonos Ace kerana cawan kanan diberikan warna hijau cair di bahagian dalam. Tak perlu mencari logo “R” yang kadang kala terlalu kecil di bahagian tangkai seperti dilakukan pengeluar fon kepala lain.

Dalam kedua-dua cawan telinga terdapat sensor tekanan udara untuk mengesan fon kepala ditanggalkan. Ia tersorok maka tidak nampak terlalu ketara seperti pada Sony XM4. Sistem pengesanan ini agak baik dengan muzik dijeda dalam masa kurang satu saat apabila fon kepala ditanggalkan.

Pada bahagian luar cawan telinga terdapat beberapa lubang seakan kekisi speaker untuk 8 mikrofon. Mikrofon ini digunakan untuk sistem pembatalan hingar ANC dan juga untuk melakukan panggilan suara menggunakan Sonos Ace. Kerana kewujudan kekisi audio ini, Sonos Ace tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air.

Fon kepala menyokong tambatan secara nirwayar bluetooth 5.4 dengan sokongan codec SBC, AAC, ALAC dan aptX Lossless. Sedikit mengecewakan tiada pula sokongan LDAC. Sambungan secara berwayar juga boleh dilalukan untuk kualiti audio tertinggi menggunakan kabel USB-C ke bicu audio 3.56mm yang disertakan dengan setiap pembelian.

Sebuah bekas simpanan diberikan dengan setiap pembelian dengan kemasan luar yang kasar. Saya sukakan rekaan bekas ini kerana ia tidak terlalu tebal memudahkan Sonos Ace disimpan di dalam beg galas. Selain itu di bahagian dalam terdapat sebuah tempat simpanan kecil untuk kabel pengecas dan bicu audio. Tempat simpanan ini bermagnet oleh itu ia boleh dicabut sekiranya tidak diperlukan.

Walaupun rekaan bekas simpanan Sonos Ace ini cantik, saya rasakan bahan yang digunakan untuknya adalah sedikit kurang praktikal. Selepas hanya seminggu digunakan, saya boleh melihat kesan kotoran yang ketara. Jika anda ingin membeli Sonos Ace saya sarankan beli yang berwarna hitam untuk bekas simpanan dalam warna sama yang boleh menyorokkan kesan kotoran dengan lebih baik.

KUALITI AUDIO

Kualiti audio Sonos Ace adalah setanding dengan sistem audio mereka yang saya pernah ulas sebelum ini. Pujian pertama say berikan kepada pentas audio yang lebih lebar berbanding fon kepala lain yang pernah diulas seperti Sony XM5. Maafkan jika saya akan gunakan XM5 beberapa kali dalam ulasan ini kerana pada hemat saya ia adalah juara kategori yang perlu dikalahkan fon kepala lain.

Apabila mendengar muzik genre jazz, setiap alat muzik dapat didengari dengan jelas. Penceraian saluran audio adalah sangat baik dan pada tetapan audio paling lantang sekalipun ia tidak akan bercampur aduk. Treble jelas dan nyaring dipadankan pula dengan bass yang tidak terlalu prominen sehingga menenggelamkan frekuensi audio yang lain.

Selepas menguji selama beberapa hari saya merasakan ini fon kepala yang paling sesuai digunakan untuk mendengar lagu klasik, jazz, instrumental dan lagu-lagu klasik 70/80 an. Saya katakan begini kerana muzik dalam dekad/genre ini dapat dinikmati dengan baik tanpa perlu menyelam ke tetapan EQ yang disertakan dalam aplikasi Sonos. Bukan tidak boleh menikmati muzik Metallica, Prodigy, Massive Attack, Pearl Jam, Megadeth atau Soundgarden cuma EQ perlu diubah untuk memberikan paluan bass yang lebih memuaskan.

Dalam lagu No Excuses oleh Alice In Chains dalam album Unplugged, paluan gendang dan simbal oleh Sean Kinney dapat didengari dari mana datangnya dan sangatlah jelas tetapi tidak membingitkan. Terasa seakan Sean Kinney memainkan dram di depan mata. Suara harmoni Layne Staley dan Jerry Cantrell dapat didengari di hadapan dengan petikan bass Mike Inez yang sangat “low” dapat didengari dengan jelas. Pada fon kepala yang lebih marhaen harganya, bunyi bass lagu ini selalunya tenggelam.

Kemudian EQ perlu ditukar semula ke tetapan lalai apabila ingin memainkan genre lain. Ini sedikit leceh bagi peminat muzik rock dan elektronika seperti saya. Malang sekali dalam aplikasi tidak ada ciri menyimpan preset peribadi untuk beberapa genre muzik. Seperti saya katakan tadi leceh kerana perlu diubah secara manual setiap kali genre muzik berbeza ingin didengari.

Walaupun perenggan di atas kedengaran seperti merungut, saya ingin menegaskan untuk majoriti muzik yang diuji tetapan EQ lalai Sonos Ace adalah cukup bagus. Dari segi kualiti audio keseluruhan ianya lebih baik, seimbang, jelas dan mempunyai pentas lebih terbuka berbanding Sony XM5 yang kerap saya jadikan penanda aras. XM5 mempunyai bass yang lebih menumbuk gegendang telinga tetapi ia boleh menjadikan muzik yang didengari menjadi tenggelam (kecuali memang anda memang sukakan bass yang kuat seperti saya).

Untuk kualiti paling baik saya sarankan Sonos Ace disambungkan menggunakan kabel 3.5mm. Saya menguji fon kepala ini pada peranti Android dan iOS. Peranti Android yang menggunakan cip Snapdragon boleh menikmati audio lebih baik menerusi sokongan Qualcomm aptX Audio. Ciri menjejak pergerakan kepala (head tracking) juga disertakan sekali. Saya rasa adalah rugi tiada sokongan LDAC kerana audio pada bit lebih tinggi tidak boleh dinikmati pada peranti dengan cip MediaTek.

ANC dan Mod Tembus

Mod ANC pada Sonos Ace adalah satu-satunya kategori ia kalah kepada Sony XM5. Audio luar seperti muzik daripada lif masih boleh saya dengari jika tiada lagu dimainkan pada Sonos. Di rumah pekikan isteri yang terkejut apabila terpegang cicik di dapur juga tidak mampu ditapis oleh ANC Sonos Ace.

Kalah pada ANC tetapi Sonos Ace menang pada mod tembus. Terasa seakan tidak memakai sebarang fon kepala jika mod tembus diaktifkan. Saya ada membaca ia sebaik AirPods Max tetapi tidak dapat mencubanya sendiri kerana AirPods Max di makmal Amanz sudahpun rosak.

Ekosistem Sonos

Sonos Ace mempunyai kemampuan untuk menerima isyarat audio Dolby Atmos daripada Sonos Beam atau Sonos Ray dengan hanya menekan satu butang. Saya tidak dapat menguji ciri ini sendiri kerana tidak mempunyai kedua-dua soundbar ini di makmal Amanz.

MIKROFON

Apabila melakukan panggilan telefon menggunakan WhatsApp (saya tak gunakan selular kerana rangkaian CelcomDigi pada ketika ini adalah teruk) insan yang saya hubungi mengatakan suara saya kedengaran jelas dan semula jadi. Ketika digunakan dalam sesi permainan video atas talian menerusi PlayStation 5, rakan sepasukan juga mengatakan suara saya kedengaran jelas.

PERISIAN

Aplikasi Sonos kini sedang berhadapan kontroversi kerana dibangunkan semula sepenuhnya untuk memberikan pengalaman baharu. Ia kini lebih ringkas dan mempunyai estetik moden tetapi mengorbankan kepelbagaian ciri yang ada pada versi lama. Saya bersetuju dengan pendapat ramai mengenai perubahan yang terlalu drastik ini. Tetapi aplikasi masih cukup mudah difahami dengan akses kepada tetapan EQ, ANC, mod tembus, penjejakan kepala dan tambatan multipoint semuanya dapat dilihat dengan jelas tanpa menu tersorok.

BATERI

Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 30 jam menggunakan ANC. Saya tidak pula mengira berapa lama saya gunakan sebelum kehabisan bateri cuma saya hanya mengecasnya setiap tiga hari. Bateri mengambil masa sekitar 3 jam untuk dicas dari sifar ke 100% yang adalah perlahan.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian di Malaysia.

  • 1x Sonos Ace
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Kabel penyesuai USB-C ke 3.5mm
  • 1x Beg menyimpan Sonos Ace.
  • 1x Beg kecil menyimpan kabel bermagnet.
  • 1x Manual

KESIMPULAN

Sonos Ace ialah fon kepala yang memberikan pengalaman audio yang terbaik pernah saya dengari setakat ini. Seimbang, jelas, dan mempunyai pentas audio luas bagi sebuah fon kepala belakang tertutup. Kualiti binaan Sonos Ace adalah setanding dengan bunyi yang dipancarkan menerusi sepasang pemandu audio 40mm yang digunakan.

Kekurangan ialah dengan harga jualan RM2299 sepasang, ia adalah sangat mahal. Anda boleh membeli sebuah soundbar audio Dolby Atmos pada harga yang sama. Juga anda memerlukan ekosistem Sonos yang lengkap untuk menggunakan ciri yang disokong Sonos Ace. Tetapi jika anda mempunyai wang lebih kerana menerima bonus tahun ini, Sonos Ace ialah fon kepala yang berbaloi untuk dimiliki.

Pro

  • Fon kepala yang selesa untuk dipakai untuk tempoh berpanjangan.
  • Kemasan dan rekaan yang premium.
  • Kualiti audio yang mantap.
  • Sokongan audio kualiti tinggi.
  • Mod tembus terbaik.

Kontra

  • Harga premium.
  • Memerlukan ekosistem Sonos lain untuk dinikmati sepenuhnya.
  • Butang laras audio kurang ergonomik.
Komen