Carian
Honor Memperkenalkan Telefon-Katup Magic V Flip Di China – Dengan Skrin Luar 4-inci
June 13, 2024 Amy Maizuraa

Honor hari ini melancarkan Magic V Flip yang merupakan telefon-katup pertama mereka. Ia menetapkan piawaian baharu dalam menciptakan kemasan yang menarik. Khususnya untuk skrin luar dengan nisbah yang tinggi mencapai 85% sekaligus membolehkan pengguna melakukan lebih banyak perkara asas melaluinya tanpa keperluan membuka skrin utama.

Berkongsi lebih mendalam, telefon-katup ini menggunakan skrin luar sebesar 4-inci dari jenis LTPO OLED 120Hz dan beresolusi 1200×1092 piksel. Paparan ini juga direka sebaiknya untuk menjalankan pelbagai aplikasi asas seperti peta, perkhidmatan penghantaran makan dan media sosial termasuk berasaskan kandungan video. Apabila dibuka pula ia menawarkan skrin utama sebesar 6.8-inci LTPO OLED 120Hz dengan resolusi 2520×1080 piksel. Paparan juga mempunyai teknologi PWM Dimming setinggi PWM 3840Hz untuk skrin dalam, dan PWM Dimming 2160Hz pada skrin luar bagi melindungi mata. Kedua-dua skrin juga melepasi piawaian Dolby Vision.

Honor Magic V Flip dijana oleh cip Snapdragon 8+ Gen 1 dengan padanan memori hingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB. Menguasakannya adalah perisian terkini MagicOS 8.0 berasaskan Android 14. Dwi-kamera utama digunakan terdiri dengan 50MP (OIS) dan 12MP ultra lebar – dengan kebolehan rakaman pula mencapai 4K. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 50MP yang menggunakan Sony IMX816, bersama kemampuan merakam video 4K.

Spesifikasi lain yang ada pada peranti ialah bateri 4800mAh dengan pengecasan pantas 66W, selain turut mempunyai pengimbas cap jari sisi, NFC, Bluetooth 5.3, rangkaian 5G dan pembesar suara stereo. Magic V Flip dijual di China dengan harga jualan berikut :

  • Magic V Flip (12/256GB) – RMB 4999 (~RM3,243)
  • Magic V Flip (12/512GB) – RMB 5499 (~RM3,568)
  • Magic V Flip (12GB/1TB) – RMB 5999 (~RM3,892)
  • Magic V Flip (16gb/1TB) – RMB 6999 (~RM4,541) (Jimmy Choo Limited edition)
Komen