Carian
WhatsApp Kelak Mungkin Membenarkan Pemindahan Data Android Ke iOS Dengan Imbasan Kod QR
June 14, 2024 Fahim Zahar

WhatsApp sedia menyokong pemindahan data dari peranti lama ke peranti baru dengan kod QR untuk peranti Android dan menggunakan kabel untuk Android ke iOS atau sebaliknya. Tidak dinafikan kaedah ini lebih mudah kerana ia adalah versi rasmi dan pengguna tidak lagi perlu bergantung kepada perkhidmatan pihak ketiga yang berbayar. Akan datang, pengguna mungkin boleh memindahkan data WhatsApp tidak kira peranti apa dengan kod QR sahaja.

Ciri pemindahan data kod QR sekarang terhad kepada versi Android terkini sahaja. Kemudian untuk pemindahan data Android ke iOS atau sebaliknya kabel masih diwajibkan dan tidak boleh dilakukan secara nirwayar. Ini boleh menyebabkan bateri kehabisan dan peranti sukar untuk dicas. Ciri baharu ini dikatakan akan menyelesaikan kesemuanya, dengan bersifat universal mana-mana peranti hanya perlu imbas kod QR untuk melakukan pemindahan data dari peranti lama ke peranti baru.

Buat masa ini ia hanya teori sahaja berdasarkan tangkapan layar pemindahan data yang sumber kongsi kerana ia tidak memaparkan sebarang versi Android yang disokong. Harapnya ciri ini benar-benar memudahkan pemindahan data di antara peranti Android dan iOS.

Komen