Carian
Butiran Cip Grafik Qualcomm Adreno X1 Diperlihatkan
June 14, 2024 Nazrin

Walaupun sejumlah komputer riba yang menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X telah diperlihatkan oleh beberapa jenama pada minggu lepas di acara Computex Taipei, sejumlah butiran mengenai siri cip tersebut masih belum diketahui lagi, seperti cip pemprosesan grafik yang terbina.

Kini, Qualcomm telah memperlihatkan beberapa butiran baru dan penting mengenai Qualcomm Adreno X1, iaitu cip yang akan menguasakan bahagian grafik SoC Snapdragon X Elite dan Snapdragon X Plus. Ia merupakan generasi pertama cip grafik sebegini, dan nombor dibelakangnya akan meningkat dengan setiap versi baru.

Dari segi penamaan model pula, cip grafik paling “berkuasa” dalam siri ini ialah cip Adreno X1-85, dimana angka “8” memperlihatkan tahap GPU tersebut, dan “5” menandakan model SKU tertinggi dalam tahap tersebut.

Sebagai contoh, Adreno X1-85 tampil dengan enam unit shader, dan tampil dengan kemampuan untuk memproses sebanyak 4.6 TFLOPs data dan 72 juta pixel setiap saat. Untuk memiripi prestasi gaming pada sebuah komputer, ia menyokong pelbagai API grafik seperti DirectX 12.1, DirectX 11, Vulkan 1.3 dan OpenCL 3.0.

Qualcomm juga mengaku bahawa SoC Snapdragon X Elite dengan cip Adreno X1-85 ini boleh menggerakkan permainan-permainan tertentu pada resolusi 1080p, menandingi apa yang boleh dilakukan pada komputer riba Intel Meteor Lake dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 155H seperti Rocket League, Horizon Zero Dawn, Cyberpunk 2077 dan God of War 2018.

Dalam pada itu, Qualcomm juga nampaknya akan memperkenalkan beberapa perkara baru mengenai cip grafik mereka. Pertama ialah kemaskini berkala yang mana mereka katakan akan tiba setiap bulan untuk mengoptimasi prestasi untuk pelbagai jenis permainan.

Kedua ialah pengenalan perisian Adreno Control Panel, yang dilihat akan berfungsi sama seperti perisian GeForce Experience dan AMD Radeon Adrenaline. Ia akan bertanggungjawab untuk pengemaskinian perisian dan juga memastikan cip grafik ini memperlihatkan prestasi gaming yang memuaskan.

Qualcomm mengatakan bahawa komputer riba dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite ini akan diperlihatkan bermula 18 Jun ini, dan lebih banyak butiran mengenai cip ini akan diperlihatkan kelak.

Komen