Aplikasi Discord secara teknikalnya sudahpun boleh digunakan oleh pengguna konsol Sony PlayStation 5 untuk sekian lamanya, tetapi untuk menyertai panggilan suara ataupun video, ia agak kekok kerana sebelum ini anda masih perlu menggunakan aplikasi pada peranti pintar untuk mengakses ciri tersebut.
Terkini, Discord dan Sony telah bekerjasama untuk membolehkan pemilik konsol PlayStation 5 untuk menyertai panggilan suara dengan lebih cepat dan mudah. Dengan kemaskini aplikasi Discord terbaru, anda hanya perlu masuk ke menu aplikasi Discord, pilih mana-mana pelayan yang anda sertai, dan kemudian masuk mana-mana saluran panggilan suara yang mempunyai ahli lain, dan menyertainya secara serta merta.

Malah, sekiranya ada sesiapa yang membuat panggilan suara melalui Discord kepada anda, anda boleh menyertai panggilan tersebut secara serta-merta tanpa masalah. Discord mengatakan bahawa kemaskini panggilan suara ini akan mula diperkenalkan secara berperingkat mengikut rantau.
Rantau Asia, Eropah, New Zealand dan Timur Tengah akan menerima kemaskini ini terlebih dahulu. Rantau Amerika dilaporkan akan menjadi diantara terakhir untuk menerima kemaskini ini, dan buat masa ini pihak Discord masih belum mengumumkan bilakah ia akan diperkenalkan untuk rantau tersebut.