Carian
TIME Menawarkan Pelan Internet Dengan Pilihan Kontrak 12 Bulan – Bermula RM119/Bulan Untuk 200Mbps
June 14, 2024 Amy Maizuraa

Anda penyewa jangka masa pendek atau lebih dikenali sebagai short term rental? Khususnya yang melibatkan perjanjian sewa secara tahunan? Antara cabaran yang dihadapi oleh kumpulan pengguna sebegini tentulah mencari pelan dengan tempoh kontrak yang sepadan dengan perjanjian sewa. Usah risau dan pening kepala kerana TIME menyediakan penyelesaian menarik melalui pelan baharunya.

Melaluinya mereka melancarkan pelan internet 12 bulan baharu yang direka khusus bagi membantu memenuhi keperluan pengguna seperti dinyatakan tadi. Pengenalannya juga bertujuan untuk memastikan pengguna menikmati sambungan internet yang stabil sepanjang tempoh sewaaan dan mengelakkan yuran penamatan kontrak yang tinggi selepas setahun. Malahan proses pemindahan perkhidmatan adalah percuma setelah pengguna menyelesaikan kontrak.

Pelan baharu ini didatangkan dengan tiga pilihan kelajuan iaitu 200Mbps pada RM119/bulan, 600Mbps berharga RM159/bulan dan 1Gbps pada RM219/bulan. Seperti yang dinyatakan tadi ketiga-tiganya ditawarkan dengan pilihan kontrak 12 bulan yang secara logiknya juga bayaran bulanan adalah sedikit tinggi. Ia juga didatangkan lengkap dengan sebuah penghala Mesh dengan sokongan WiFi 6 bergantung pada jenis pelan yang dipilih. Cuma beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu pelanggan internet pelan 12 bulan tidak boleh bertukar ke pelan internet 24 sedia ada, dan begitu juga sebaliknya.

Namun begitu mereka masih boleh menaiktaraf kelajuan dalam pelan yang sama pada bila-bila masa dan menurun-taraf kelajuan pula hanya selepas tamat tempoh kontrak semasa. Pelanggan pelan ini juga tidak layak untuk nikmati sebarang promosi atau diskaun yang sedang berjalan kecuali untuk tawaran Time Fibre Home Offer for the Differently abled (OKU). Bagi yang berminat, langganan boleh dibuat sekarang melalui laman web rasmi TIME.

Komen