Ramai pencipta kandungan YouTube sekarang terpaksa aktif di platform lain bagi memastikan kandungan mereka dicapai oleh ramai orang. Masalah di sini adalah pengikut yang sudah setia di satu platform seperti TikTok sukar untuk beralih semula ke YouTube. Akan datang, YouTube akan memberi kod QR kepada pencipta kandungan terpilih untuk kongsi saluran mereka dengan kod QR.

Kod QR ini akan diintegrasikan pada nama pengguna, misalnya “@Amanz” di laman utama saluran YouTube. Apabila ditekan, saluran terpilih boleh pilih Share dan QR kod untuk kongsi kod ini di mana-mana. Pengguna yang melanggan saluran yang terpilih turut boleh tekan menu tiga titik, pilih Share dan kod QR turut boleh diakses.

YouTube turut sedang menguji ciri merumuskan komen ketika siaran langsung sedang diadakan. Ciri ini akan mengumpulkan pelbagai komen pengguna dan menapis mengikut yang sesuai dan senonoh dirumuskan. Ia terhad kepada pengguna yang aktif memberi komen dan reaksi dalam mana-mana sesi siaran langsung di YouTube yang berbahasa Inggeris. Semua ciri baharu ini masih dalam ujian untuk pengguna dan pemilik saluran terpilih, jadi tidak pasti bila ia akan diberikan kepada semua.