Carian
Pentagon Menjalankan Kempen Anti Vaksin China Ketika Pandemik Memuncak
June 15, 2024 Effi Saharudin

Ketika pandemik memuncak pada pertengahan 2020, anda pasti dapat membaca pelbagai teori konspirasi yang mengatakan vaksin adalah berbahaya. Di Malaysia, terdapat pula kumpulan yang pro vaksin tetapi enggan mengambil vaksin Sinovac buatan China kerana didakwa tidak berkesan.

Semalam Reuters menerbitkan laporan bahawa Pentagon menjalankan kempen perang psikologi (psiops) anti vaksin China saat pandemik memuncak pada musim panas 2020. Ia dilakukan sebagai balasan kepada China yang didakwa menjalankan kempen maklumat palsu mereka sendiri untuk menyalahkan Amerika Syarikat kerana penularan virus Covid-19.

Kempen memberikan tumpuan kepada Filipina yang mempunyai hubungan yang tegang kerana perebutan kawasan perairan di Laut China Selatan. Sumber yang merupakan bekas anggota tentera Amerika Syarikat memberitahu kepada Reuters, lebih 300 akaun palsu digunakan dalam kempen pisops ini.

Akaun-akaun yang kononnya dari Filipina menghantar ciapan yang mendakwa pelitup muka, PPE, kit ujian Covid dan vaksin Sinovac adalah tidak berkesan. Majoriti akaun menggunakan bahasa Tagalog untuk membuatkan ia seakan dari warga Filipina asli. Kempen propaganda ini boleh dikatakan berjaya dengan ramai termakan dakyah menolak suntikan Sinovac di Filipina.

Program ini hanya dihentikan pada awal 2021 selepas diarahkan oleh pentadbiran Joe Biden yang tidak mahu mesej anti vaksin digunakan ketika Amerika Syarikat sedang berusaha menggalakkan pengambilannya oleh rakyat. Wakil kedutaan Amerika Syarikat di Manila masih belum memberikan sebarang maklum balas ketika laporan ini diterbitkan.

Sinovac ialah antara vaksin terawal yang ditawarkan di Malaysia di awal pandemik dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menjadi penerima pertama pada Mac 2021. Kemudian Sinovac tidak lagi ditawarkan di Malaysia dengan digantikan dengan Pfizer-BioNTech.

Komen