Carian
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Fold6 dan Z Flip6 Tertiris
June 17, 2024 Effi Saharudin

Acara Samsung Unpacked yang seterusnya dijangka berlangsung pada 10 Julai di bandaraya Paris, Perancis. Samsung Galaxy Z Fold6, Z Flip6, Galaxy Ring, Galaxy Buds baharu dan siri Galaxy Watch7 akan dilancarkan pada hari tersebut. Seperti biasa apabila hari pelancaran semakin hampir, spesifikasi peranti akan tertiris. Minggu ini spesifikasi penuh Samsung Galaxy Z Fold6 dan Z Flip6 tertiris ke arena web menerusi laman Smartprix.

Samsung Galaxy Z Fold6 dilengkapi skrin 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz di dalam, skrin 6.3″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz di luar, dijana cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy, memori 12GB RAM, storan sehingga 1TB SSD, dan bateri sebesar 4400 mAh.

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP dan lensa telefoto 10MP yang memberikan zum optikal sehingga 3X. Kamera swafoto luar sebesar 10MP manakala kamera swafoto di dalam adalah sebesar 4MP terletak di bawah skrin.

Tiada perubahan dilakukan pada kesemua kamera serta kapasiti bateri. Perubahan paling besar hanyalah skrin luar yang lebih lebar menjadikan peranti lebih pendek. Ini bagi memberikan nisbah skrin luar yang lebih selari dengan rekaan telefon pintar biasa.

Samsung Galaxy Z Flip6 pula dilengkapi skrin 6.7 Dynamic AMOELD 2X 120Hz di dalam, skrin 3.4″ SAMOLED di luar, dijana cip Snapdragin 8 Gen 3 for Galaxy, storan sehingga 512GB, dan bateri sebesar 4000 mAh dengan pengecasan 25W.

Kamera utama terdiri daripada sudut lebar 50MP dan ultra sudut lebar 12MP. Kamera swafoto pula sebesar 10MP. Penambahbaikan dilakukan hanya pada pemproses dan kamera utaam 50MP. Pada Z Flip5 tahun lalu, lensa sudut lebar dipadakan dengan sensor 12MP sahaja. Berdasarkan imej promosi yang tertiris sebelum ini, tubuh telefon lipat ini adalah lebih berkotak.

Komen