Carian
Huawei Melancarkan MateBook 14 (2024) Di Malaysia – Harga Bermula RM4,999
June 18, 2024 Amy Maizuraa

Huawei juga secara rasminya melancarkan komputer riba baharu MateBook 14 (2024) di Malaysia. Ia bukan sahaja memberi tumpuan terhadap reka bentuk dan prestasi sahaja. Malahan ciri-ciri AI terbina yang diyakini mampu mengubah seterusnya memudahkan cara bekerja pengguna moden.

Huawei MateBook 14 (2024) menggunakan skrin sesentuh OLED 2.8K sebesar 14.2″. Paparannya juga menawarkan kadar segar semula 120Hz bersama nisbah aspek 3:2. Kemudian digabungkan dengan pilihan cip sehingga Intel Core Ultra 7, GPU Intel Arc Graphics, memori 16GB RAM, storan dalaman 1TB SSD dan bateri 70Wh yang menyokong pengecasan pantas 65W.

Terdapat juga sejumlah fungsi yang mengintegrasikan AI terbina seperti AI Camera dan AI Sound dengan kedua-duanya mampu mengurangkan hingar kerika sesi telesidang. Sokongan teknologi Super Turbo pula secara bijak boleh mengenal pasti senario aplikasi semasa dan menguruskan sumber berdasarkan status perkakasan seperti CPU, GPU, memori dan bateri. Tidak ketinggalan pilihan I/O disediakan dianggap memadai yang termasuk port USB-C, USB-A, bicu audio 3.5mm dan HDMI.

Bagi yang berminat komputer riba ini dijual di Malaysia dengan harga bermula RM4,999 (Ultra 5) dan RM5,499 (Ultra 7). Pratempah sekarang untuk berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai RM1,641 yang berupa Microsoft Office Home & Student 2021, Huawei Trendy Backpack, Huawei Mouse, 3 in 1 Printer, Laptop Stand dan jaminan tambahan selama setahun.

Komen