Di acara Computex Taipei dua minggu lalu, MSI telah memperlihatkan sejumlah produk-produk yang menarik di reruai mereka, termasuklah konsol mudah-alih prototaip terbaru mereka, iaitu MSI Claw 8 AI+ yang akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Lunar Lake, dan juga prototaip papan induk MSI Z790 Project Zero Plus yang menggunakan format memori CAMM2 terbaru.

Satu lagi produk menarik yang diperlihatkan mereka ialah kad pengembangan storan MSI M.2 Xpander-AERO SLIDER GEN5. Kad pengembangan ini menyerupai sebuah kad grafik bersaiz padat dengan satu kipas penyejukan, tetapi ia tampil dengan dua slot untuk storan SSD M.2 PCIe Gen5 sekiranya anda membina sebuah PC yang memerlukan jumlah storan pantas yang besar.
Keunikan kad pengembangan ini, berbanding dengan penawaran MSI sendiri sebelum ini ialah ia boleh diakses dan dipasang terus ke kad tersebut dengan menolak sahaja storan SSD anda kedalam slot pengembangan seperti anda menolak masuk sebuah kad SD atau MicroSD kedalam slot pembaca kad tersebut. Ia juga menyokong sejumlah saiz storan SSD M.2 sehinggalah saiz M.2 22110.

Setakat ini MSI tidak mengesahkan lagi bilakah mereka akan memperkenalkan storan SSD ini, tetapi ia dijangka akan tiba di pasaran-pasaran terpilih tidak lama lagi.