Carian
Samsung Melancarkan Dua Monitor Gaming Odyssey OLED Baharu Di Malaysia – Bermula RM4,999
June 18, 2024 Amy Maizuraa

Samsung menawarkan dua pilihan monitor gaming baharu di Malaysia. Ianya terdiri dengan Samsung Odyssey OLED G6 G60SD yang dijual pada RM4,999. Sementara itu Samsung Odyssey OLED G8 G80SD pula berharga RM6,399 sebuah. Menariknya apabila kedua-dua monitor boleh dibeli dengan diskaun sebanyak RM500 lebih murah yang menjadikan masing-masing boleh dibeli serendah RM4,499 dan RM5,899 untuk masa terhad.

Samsung Odyssey OLED G6 G60SD dilengkapi skrin OLED 16:9 sebesar 27″ dengan rekaan rata. Ia juga menyokong resolusi 2560 x 1440 piksel, kadar segar semula 360Hz dan masa tindak balas 0.03ms. Sokongan AMD Freesync Premium Pro disertakan di samping sistem Samsung OLED Safeguard+ bagi tujuan mengelakkan masalah imej terbakar pada skrin OLED. Terdapat juga cagak yang boleh dilaraskan dalam pelbagai sudut bersama sokongan sistem RGB di bahagian belakang. Input yang disokong ialah dua HDMI (2.1), satu DisplayPort 1.4 dan tiga port USB 3.0.

Samsung Odyssey OLED G8 G80SD pula menggabungakan skrin OLED 16:9 sebesar 32″ yang juga sejenis rata. Ia juga menawarkan resolusi 3840 x 2160 piksel, kadar segar semula 240Hz dan masa tindak balas 0.03ms. Sokongan AMD Freesync Premium dan sistem Samsung OLED Safeguard+ turut diberikan. Kelebihan pada G8 ialah ia hadir dengan cip NQ8 AI Gen3 yang turut digunakan pada TV mercu Samsung 8K. Ia juga satu-satunya model dalam siri Odyssey tahun ini yang dilengkapi speaker terbina.

Komen