Carian
Zephyr GeForce RTX 4070 ITX Sakura Ialah Kad Grafik RTX 4070 Paling Padat Di Pasaran
June 18, 2024 Nazrin

Jika anda sedang mencari sebuah kad grafik yang boleh digunakan untuk menggerakkan permainan-permainan komputer pada resolusi 1440p ataupun 4K, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 merupakan salah satu daripada kad grafik dengan gabungan nilai dan prestasi yang terbaik di pasaran sekarang.

Kini, Zephyr, sebuah jenama pembuat kad grafik dari China telah memperlihatkan kad grafik GeForce RTX 4070 mereka tersendiri yang hadir dengan rekaan ITX serba padat yang dinamakan Zephyr GeForce RTX 4070 ITX Sakura yang dilihat hadir dengan rekaan serba padat yang boleh muat didalam rangka PC bersaiz ITX, dan menggunakan satu kipas penyejukan sahaja.

Hadir dengan ukuran 172mm x 123mm x 42mm, ia memang boleh dilihat sebagai kad grafik GeForce RTX 4070 yang sangat kecil sekali. Apa yang membuatkan kad grafik ini lebih menarik lagi ialah kebolehannya untuk masih mendapatkan skor penanda-aras purata yang dapat diperlihatkan pada kad-kad grafik lain yang lebih besar.

Anda juga boleh menguasakannya menggunakan satu palam kuasa PCIe 8-pin, dimana secara lazimnya kad grafik ini memerlukan dua palam 8-pin tersebut. Kekurangan pada kad grafik ini adalah ia tidak hadir dengan sebarang profil lewah-jam, jadi anda hanya boleh menggunakan kad grafik ini pada tetapan asal sahaja.

Kad grafik ini sudahpun mula dijual oleh Zephyr bermula hari ini di pasaran China, tetapi sudahpun habis dijual. Mereka menjangkakan bahawa unit-unit baru akan tiba pada pertengahan Julai tahun ini.

Komen