Jika anda pengunjung kerap ke lapangan terbang Kuala Lumpur International Airport seperti kami, anda pasti tahu baawa untuk ke terminal antarabangsa, anda akan perlu menggunakan bas pengantara kerana kereta api Aerotrain yang menyambungkan terminal utama dan terminal antarabangsa masih lagi rosak.
Terkini, Malaysia Airport Holdings Berhad telah mengumumkan bahawa kereta api Aerotrain tersebut akan siap digantikan pada 31 Januari 2025 kelak. Projek ini membabitkan MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Alstom Transport Systems Sdn Bhd dan usahasama IJM Construction Sdn Bhd dengan Pestech Technology Sdn Bhd.

Alstom dilaporkan akan memantau tiga buah gerabak kereta api Aerotrain dan penaiktarafan landasan kereta api tersebut dan juga pengujian yang akan perlu dilakukan untuk keselamatan operasi. Laporan Bernama mengatakan bahawa ketiga-tiga kereta api ini akan tiba di Malaysia menjelang akhir suku ketiga tahun ini.
Penaiktarafan kereta api ini sudahpun ditunda beberapa kali sebelum ini, tetapi dengan pengumuman ini, ia dilihat bahawa aerotrain untuk lapangan terbang KLIA akan akhirnya kembali menghantar orang ke kedua-dua terminal utama dan antarabangsa pada awal tahun hadapan.