Carian
TikTok Hadir Dengan Aplikasi Seumpama Instagram, Dinamakan Whee
June 19, 2024 Aman

TikTok kini telah mula menawarkan sebuah aplikasi dengan fokus terhadap perkongsian gambar, dinamakan Whee. Secara kasar, ia dilihat menawarkan kemudahan berkongsi gambar terus kepada rakan-rakan dan ahli keluarga, lebih kurang seperti Instagram.

Whee dilihat ditawarkan secara terhad di beberapa buah negara sahaja buat masa ini, termasuk di Malaysia. Menggunakannya, pengguna dengan mudah boleh memuat-naik gambar daripada album atau galeri sedia ada pada peranti, atau merakamkan gambar menggunakan kamera dan berkongsi terus melaluinya.

Tiada sebarang kesan penuras atau kapsyen yang perlu ditambah sebelum dikongsikan. Pengguna hanya boleh memuat-naik gambar, dan rakan-rakan lain boleh berinteraksi melalui ruangan komen, atau menghantar mesej peribadi kepada anda.

Whee menggunakan akaun TikTok sedia ada untuk mendaftar, disamping membolehkan pengguna menambah rakan-rakan lain daripada platform TikTok ke Whee. Menariknya juga, sebuah halaman latar masa disediakan untuk memudahkan pengguna melihat gambar-gambar yang telah dikongsikan.

Bagi anda yang berminat, boleh mencuba Whee di iPhone dan Android hari ini dengan memuat-turunnya di Apple App Store atau Google Play Store.

Komen