Carian
Siri Infinix Note 40 Racing Edition Dengan Kolaborasi BMW Kini Di Malaysia, Harga Bermula RM1098
June 19, 2024 Fahim Zahar

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Infinix telah bekerjasama dengan BMW Group Designworks untuk siri Note 40 Racing Edition. Peranti ini turut disahkan akan memasuki pasaran Malaysia dan hari ini Infinix Malaysia telah melancarkan dua peranti di bawah siri ini iaitu Infinix Note 40 Pro 5G dan Infinix Note 40 5G. Peranti ini menyasarkan pengguna muda menggemari prestasi tinggi serta yang meminati acara perlumbaan.

BMW Group Designworks merekabentuk panel belakang, memilih bahan binaan serta jenis kemasan yang digunakan pada siri Note 40 Racing Edition. Tiada perubahan spesifikasi kerana Racing Edition hanyalah peranti yang sama seperti dilancarkan sebelum ini dengan rekaan unik. Ciri seperti All-Round FastCharge 2.0, cip Cheetah X1, pengecasan pantas 100W Multi-Speed FastCharge, serta pengecasan seakan MagSafe iaitu MagCharge turut dikekalkan.

Ekosistem Infinix MagKit, termasuk pelindung MagCase pengecas nirwayar MagPad dan power bank MagPower turut hadir dengan rekaan baharu bersesuaian dengan tema Racing Edition. Rekaan belakang peranti menggunakan kaedah cetakan UV dengan elemen tiga warna BMW yang ikonik dan mempunyai tambahan elemen beralun untuk cengkaman tambahan. Infinix turut menyediakan gambar latar, tema dan set nada dering bertemakan trek lumba kereta.

Infinix Note 40 5G Racing Edition menggunakan skrin AMOLED FHD+ bersaiz 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ia dijana dengan cip Dimensity 7020 menjalankan XOS 14 berasaskan Android 14. Bateri pula adalah 5000mAh dengan pengecasan 33W, kamera utama 108MP + 2MP + 2MP dan kamera swafoto 32MP. Infinix Note 40 Pro 5G Racing Edition pula mempunyai spesifikasi lebih kurang sama beza pada pengecasan sahaja iaitu 45W. Note 40 5G pula menawarkan memori dan storan 12/512 GB sementara Note 40 Pro 5G terhad kepada 8/256 GB.

Harga jualan di Malaysia adalah RM1098 untuk Note 40 Pro 5G Racing Edition, sementara RM1299 untuk Note 40 5G Racing Edition. Di Malaysia, berkas istimewa dengan kaca mata hitam, jam, TWS dan aksesori lain tidak dijual sebaliknya hanya sebagai hadiah kepada yang bertuah. Infinix hanya akan menjual set telefon biasa dengan kotak yang menggunakan rekaan unik.

Tidak dijual di Malaysia
Komen