Carian
Samsung Akan Melabur Dalam Pembangunan Teknologi GPU Untuk Kegunaan Sendiri
June 19, 2024 Nazrin

Samsung nampaknya kini sedang berada dalam satu fasa baru dimana mereka mahu meningkatkan kemampuan mereka untuk mengilangkan cip-cip semikonduktor yang paling berkesan di pasaran sekarang.

Beberapa laporan telah diperlihatkan baru-baru ini tentang “GPU Investment Proposal” yang memperlihatkan bahawa Samsung akan melaburkan sejumlah wang untuk menyelidik pembangunan teknologi grafik, walaupun buat masa ini tiada butiran khusus mengenainya.

Walaupun begitu, laporan-laporan ini juga mengatakan bahawa GPU ini akan digunakan untuk membangunkan teknologi litografi dan juga kecekapan dalam kilang-kilang pengeluaran cip semikonduktor mereka sendiri.

Penggunaan teknologi pemprosesan grafik boleh dimanfaatkan dalam proses simulasi kilang untuk melihat bagaimanakah ia akan beroperasi secara digital terlebih dahulu menggunakan teknologi yang dinamakan kembar digital ataupun Digital Twin.

Manfaat menggunakan kembar digital ini adalah supaya syarikat-syarikat boleh mengoptimasikan lokasi kelengkapan, mengurangkan penggunaan kuasa elektrik, air dan sebagainya dengan menggunakan simulasi digital sebelum kelengkapan dipasang secara fizikal. Ia juga membantu syarikat mengurangkan kos operasi dan pembangunan, malah simulasi pembaikan juga boleh digunakan untuk menganggarkan bilakah kelengkapan kilang perlu diservis dan diperbaiki sebelum ia rosak.

Laporan-laporan sama mengatakan bahawa Samsung berkemungkinan besar tidak akan membangunkan teknologi grafik untuk kegunaan peranti pengguna seperti peranti pintar, komputer riba dan sebagainya. Fokus mereka buat masa ini adalah untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran cip semikonduktor di kilang-kilang mereka.

Komen