Realme ialah jenama yang lebih dikenali sebagai pengeluar peranti mampu milik tetapi dengan penawaran yang menjadikannya berbaloi. Selepas sekian lama hanya mengulas peranti mampu milik mereka, saya kini diberikan peluang mengulas peranti mercu mereka juga ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik iaitu Realme GT 6. Adakah dalam kategori peranti mercu mampu milik Realme dapat memberikan persaingan yang baik? Teruskan membaca ulasan ini.

SPESIFIKASI
Realme GT 6 | |
---|---|
Skrin | 6.78″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz HDR10, Dolby Vision |
Pemproses | Snapdragon 8s Gen 3 (4nm) 1x 3.0 GHz Cortex-X4 4x 2.8 GHz Cortex-A720 3x 2.0 GHz Cortex-A520 |
Cip Grafik | Adreno 735 |
RAM | 12/16 GB LPDDR5X 12 GB Maya |
Storan | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50MP, f/1.69, OIS (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 50MP, f/2.0 (Telefoto) |
Kamera Depan | 32MP, f/2.74 |
Bateri | 5500mAh 120W (Berwayar) |
Sim/Telefoni | Dwi-SIM 5G |
Audio | Speaker Stereo |
Rangkaian | WiFi 6, Bluetooth 5.4 NFC |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | IP65 |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin Imbasan wajah Imbasan nadi |
Harga Jualan | RM2599 (12/256 GB) RM2899 (16/512 GB) |
SKRIN
Skrin peranti besaiz besar dengan ia sebesar 6.78″ LTPO AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Ia terasa pantas dengan setiap sentuhan dikesan dengan baik. Dari segi paparan warna skrin memaparkannya dengan baik dengan terdapat sokongan HDR10+ dan Dolby Vision. Di bawah matahari yang terik, kandungan masih dapat dibaca dengan jelas.

Realme mengiklankan GT6 mempunyai tahap keterangan sehingga 6000 nits. Namun begitu paparan HDR10+ hanya disokong pada Prime Video dan YouTube. Ketika artikel ditulis, masih tiada sokongan secara rasmi HDR Dolby Vision menerusi Netflix.
Walaupun skrin memaparkan visual yang cantik dan adalah responsif, ia adalah dari jenis yang melengkung pada kedua-dua sisi. Apabila menonton video dalam mod skrin penuh dan menggunakan aplikasi kamera, kandungan melimpah keluar ke sisi. Saya kurang gemar dengan skrin melengkung kerana ia tidak memberikan sebarang kelebihan tetapi sekadar menimbulkan dua isu yang saya katakan tadi.
BIOMETRI
Sistem pengimbas cap jari bawah skrin disokong dengan ia dari jenis optikal. Imbasan cap jari boleh dilakukan dengan pantas asalkan jari tidak kotor ataupun basah. Pengimbas cap jari pada GT6 juga mempunyai kemampuan untuk melakukan imbasan nadi yang secara lalai tidak diaktifkan. Ia hanya boleh dihidupkan menerusi tetapan Realme Labs.

Saya kurang gemar dengan kedudukan sensor pengimbas yang agak ke bawah. Setakat ini saya sedari ini ialah perkara yang berlaku pada kesemua peranti di bawah BBK Electronics kecuali OnePlus. Sekiranya pengimbas diletakkan sedikit lebih tinggi, proses menyahkunci akan menjadi lebih mudah. Selain itu terdapat juga sistem imbasan wajah yang juga berfungsi dengan pantas.
REKAAN
Rekaan GT 6 adalah amat mirip dengan Poco F6. Kedua-duanya mempunyai sisi dan panel logam dengan terdapat tiga bonggol kamera di belakang. Dua besar dan satu lagi bersaiz agak kecil. Sistem tri-kamera GT 6 terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, lensa zum 50MP dan satu lensa ultra sudut lebar 8MP. Sementara itu di hadapan pula terdapat kamera 32MP yang diletakkan di dalam lubang kamera.

Kedudukan lensa juga amat mirip seperti pada Poco F6 yang membuatkan saya tertanya-tanya sama ada kedua-dua peranti ini dihasilkan oleh kilang ODM yang sama. Bonggol bersaiz sederhana tetapi masih menyukarkan untuk ia diletakkan rata di atas permukaan meja.

Peranti terasa selesa di dalam tangan cuma panel belakang yang berkilat amat mudah menjadi kotor. Ini lebih-lebih lagi pada bahagian belang belakang yang diberikan kemasan seakan cermin. Butang laras audio dan butang kuasa diletakkan pada sisi kanan. Di atas terdapat pemancar infra merah dan satu lubang untuk speaker stereo. Akhir sekali di bawah terdapat bicu audio, talam SIM dan port pengecasan USB-C. Realme memberikan sebuah kerangka plastik yang menyelesaikan isu bonggol ini dan panel yang terlalu cepat kotor.

Yang disertakan ialah sistem NFC dan juga kemampuan kalis air IP65. Ini membolehkan ia tidak mengalami kerosakan sekiranya terkena percikan air tetapi tidak boleh dibawa menyelam. Maka pengguna perlu berhati-hati supaya boleh membezakan IP65 dengan IP68 yang digunakan pada peranti mercu lain.
PENGGUNAAN – RealmeUI 5.0
Realme UI 5.0 adalah berasaskan Android 14 oleh itu ia menyokong pelbagai ciri standard disertakan seperti multi tingkap, mod kanak-kanak, gestur dan mod penggunaan satu tangan. Dengan kombinasi pemproses berkuasa dan memori sehingga 16GB RAM, saya tidak mengalami sebarang isu sepanjang tempoh ulasan lebih dua minggu. Pengalaman juga sama sahaja seperti menggunakan OxygenOS, ColorOS dan Funtouch OS. Terdapat pelbagai ciri yang sama pada kesemua sistem operasi ini.

Sekiranya memori yang disertakan tidak mencukupi, ciri memori tambahan sehingga 12GB RAM boleh ditambah secara maya. Jika diaktifkan, GT 6 boleh mempunyai memori sehingga 28GB RAM yang amatlah besar. Mengawal peranti tampa menyentuh skrin juga boleh dilakukan menerusi ciri Air Gesture.
Tetapi tumpuan pada siri ini ialah ciri kecerdasan buatan (AI) seperti AI Removal yang boleh membuang elemen dalam gambar. Pengguna hanya perlu menandakan bahagian yang ingin dibuang dan ia akan dipadam AI Removal dalam masa beberapa saat.

Seterusnya terdapat juga AI Smart Loop yang memendekkan proses melakukan beberapa tugasan pada GT 6. Sebagai contoh gambar yang disunting tadi boleh terus dikongsi ke WhatsApp atau Gmail dengan hanya menekannya dalam aplikasi Photos dan kemudian menariknya ke sisi masuk ke dalam antaramuka AI Smart Loop. Proses berkongsi imej adalah semudah melalukan aksi drag & drop.
Kemudian jika teks alamat diterima, tekan teks yang diterima dan tarik ke ikon Google Maps dalam AI Smart Loop. Terdapat slot untuk lima aplikasi kegemaran dalam AI Smart Loop. Jika aplikasi lain ingin digunakan, terdapat roda yang berputar membolehkan semua aplikasi terpasang pada telefon digunakan dalam AI Smart Loop.
PENANDA ARAS
Mari lihat prestasi cip Snapdragon 8s Gen 3 pada Realme GT 6 apabila dibandingkan dengan cip sama pada Poco F6, Dimensity 8200 Ultimate (Infinix GT 20 Pro), Dimensity 7200 Ultra (Redmi Note 13 Pro+), Snapdragon 8 Gen 3 (Xiaomi 14) dan Snapdragon 8 Gen 2 (OnePlus 12R) bagi menunjukkan perbezaan prestasi antara-antara cip ini.

Geekbench 6
- Realme GT 6 – 1860/4614
- Poco F6 – 1685/4776
- Infinix GT 20 Pro – 1244/3516
- Redmi Note 13 Pro+ – 1127/2658
- OnePlus 12R – 1081/4204
- Xiaomi 14 – 1741/6313
Antutu 3D
- Realme GT 6 – 1,490,495
- Poco F6 – 1,331,937
- Infinix GT 20 Pro – 933,015
- Redmi Note 13 Pro+ – 757,180
- OnePlus 12R – 1,431,444
- Xiaomi 14 – 1,773,520
3DMark Wildlife Extreme
- Realme GT 6 – 3083
- Poco F6 – 3094
- Infinix GT 20 Pro – 1736
- Redmi Note 13 Pro+ – Tidak boleh diuji
- OnePlus 12R – 3712
- Xiaomi 14 – 4499

GT 6 ialah sebuah peranti yang boleh menjalankan majoriti permua dan aplikasi dengan baik sekali. Ini dibantu dengan kebuk penyejukan yang besar di bahagian dalam memastikan peranti boleh menjalankan permua untuk tempoh yang lama tanpa isu pemanasan yang kronik. Tiada isu menjalankan COD Mobile dan Diablo Immortals pada tetapan tinggi.
Isu hanya wujud apabila menjalankan Genshin Impact dan COD Warzone Mobile. Kadar bingkai tidak begitu stabil dan peranti akan menjadi sedikit lebih panas. Dua aplikasi ini boleh membuatkan peranti dengan Snapdragon 8 Gen 3 dan iPhone 15 Pro Max menjadi panas maka tidak mengejutkan GT 6 juga mengalami masalah sama.
KAMERA
Kamera terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP Sony LYT 808, ultra sudut lebar 8MP dan telefoto 50MP Samsung JN5. Hanya lens sudut lebar dilengkapi sistem OIS. Secara keseluruhan gambar yang diambil kelihatan tajam, mempunyai warna yang terang dan boleh mengambil gambar mod malam yang memuaskan. Sistem OIS pada lensa sudut lebar memastikan tangkapan gambar dalam mod malam kekal tajam.
Isu hanya muncul apabila menggunakan mod malam pada lensa ultra sudut lebar dan telefoto kerana tiada OIS. Zum juga memuaskan sehingga 10X pada waktu siang tetapi merosot ke sekitar 4X sahaja pada waktu malam.












Saya tidak menyertakan sampel rakaman video pada peranti ini kerana ia kerap bermasalah. Kerana cuaca yang sangat panas di Dubai, setiap kali saya merakam video akan ada notifikasi aplikasi dihentikan kerana suhu panas yang melampau. Apa saya boleh katakan kemampuan video adalah seakan Poco F5 lagi, masih tidak memuaskan.
TELEFONI, WiFi dan GPS
Terdapat sokongan dwi-SIM 5G tetapi tiada pula sokongan 5G. Prestasi selular adalah amat baik dengan masih terdapat palang rangkaian apabila berada di dalam lif. WiFi juga amat pantas sekiranya anda mempunyai modem WiFi 6. Prestasi GPS turut memuaskan dengan lokasi dapat dijejak dalam masa kurang dua saat apabila menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps.

AUDIO
Dengan kedua-dua speaker menembak ke sisi, audio lebih seimbang berbanding pada peranti lain yang menggunakan konfigurasi satu menembak ke depan dan satu ke sisi. Tiada sistem Dolby Atmos tetapi ia digantikan dengan sistem OReality Audio dan juga spatial. Secara keseluruhan speaker menghasilkan audio yang memuaskan. Lantang tetapi tidak pecah yang saya rasakan ialah keperluan minima pada sebuah telefon pintar.

BATERI
Dengan bateri 5500mAh, GT 6 tidak mempunyai isu untuk digunakan sepanjang hari dalam penggunaan sederhana. Saya boleh mendapat secara purata SOT sehingga 11 jam sehari dengan masih terdapat 15% bateri sebelum tidur sekitar 10 malam. Kemampuan bateri yang baik dari Snapdragon 8 Gen 3 dapat juga dinikmati pada Snapdragon 8s Gen 3.

Pengecas 120W yang diberikan boleh mengecas semula bateri yang besar ini dalam masa sekitar 40 minit yang adalah pantas. Realme berkata bateri masih akan mempunyai kapasiti 80% selepas 1600 kitaran pengecasan.
PERBANDINGAN
Realme GT 6 | Poco F6 | Honor 200 Pro |
6.78″ AMOLED, 1264x 2780, 120Hz, 6000 nits, Dolby Vision | 6.78″ AMOLED, 1080 x 2436, 120Hz, Video HDR | 6.78″ OLED, 1224 x 2700, 120Hz, 4000 nits, HDR |
Snapdragon 8s Gen 3 (4nm) 1x 3.0 GHz Cortex-X4 4x 2.8 GHz Cortex-A720 3x 2.0 GHz Cortex-A520 | Snapdragon 8s Gen 3 (4nm) 1x 3.0 GHz Cortex-X4 4x 2.8 GHz Cortex-A720 3x 2.0 GHz Cortex-A520 | Snapdragon 8s Gen 3 (4nm) 1x 3.0 GHz Cortex-X4 4x 2.8 GHz Cortex-A720 3x 2.0 GHz Cortex-A520 |
Adreno 735 | Adreno 735 | Adreno 735 |
12/16 GB LPDDR5X 12 GB Maya | 8/12 GB LPDDR5X 8 GB Maya | 12 GB LPDDR5X 12 GB Maya |
256/512 GB UFS 4.0 | 256/512 GB UFS 4.0 | 512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50MP, LYT 808, f/1.69, OIS (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) 50MP, JN5, f/2.0 (Telefoto) | Kamera Utama 50MP, IMX 882, f/1.59, OIS (Sudut Lebar) 8MP (Sudut Ultra Lebar) | Kamera Utama 50MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) 50MP, f/2.4 (Telefoto) |
Kamera Hadapan 32MP, f/2.74 | Kamera Hadapan 20MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 50 MP, f/2.1 2 MP, f/2.4 |
IP65 | IP64 | IP65 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5500 mAh (Berwayar 120W) | 5000 mAh (Berwayar 90W) | 5200 mAh (Berwayar 100W) 66W (Nirwayar) |
RM2599 (12/256 GB) RM2899 (16/512 GB) | RM1,799 (8/256 GB) RM1,999 (12/512 GB) | RM2699 (12/512 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut ialah komponen yang disertakan dengan setiap pembelian.
- 1x Realme GT 6
- 1x Kerangka pelindung plastik
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas USB-A 120W
- 1x Buku panduan dan keselamatan.
- 1x Pin SIM

KESIMPULAN
Realme GT 6 ialah telefon pintar yang baik dengan pelbagai ciri tambahan pada harga yang kompetitif. Ia cukup berkuasa untuk menjalankan aplikasi lazim serta permua-permua popular. Kemampuan kamera adalah memuaskan tanpa lensa gimik. Yang menjadi tunjang kekuatan ialah hayat bateri yang cukup tahan lama disokong pula dengan pengecas pantas 120W. Perisian AI yang disertakan membantu memudahkan penggunaan peranti cuma kami berharap sokongan Circle to Search boleh ditawarkan seperti dijanjikan oleh Google.

Kekurangan terletak pada skrin melengkung yang membuatkan kandungan melimpah ke sisi. Tubuh juga cepat kotor kerana kemasan logam yang digunakan. Ketika artikel di tulis tiada maklumat mengenai sokongan sistem operasi dan diharap ia akan dapat dijelaskan oleh pihak Realme kelak.
Pada harga bermula RM2599 saya rasakan ia masih lagi peranti berbaloi dalam kelas peranti mercu mampu milik. Alternatif lain di pasaran ialah Poco F6 dengan pemproses sama tetapi tiada lensa telefoto dan pengecasan lebih perlahan. Honor 200 Pro pula menggunakan pemproses yang sama dan RAM lebih besar tetapi pengecasan lebih perlahan.
PRO
- Skrin yang cantik, terang dan pantas.
- Cip Snapdragon 8s Gen 3 menawarkan prestasi yang baik.
- Bateri yang tahan lama dan menyokong pengecasan pantas 120W.
- Perlindungan kalis air IP65.
- Prestasi kamera yang memuaskan dalam majoriti prestasi.
- Pengimbas nadi bawah skrin.
KONTRA
- Kamera tidak begitu tajam dalam mod malam pada lensa telefoto dan ultra sudut lebar.
- Tubuh memerangkap kotoran dengan mudah.
- Skrin melengkung yang membuatkan kandungan melimpah ke tepi.
