Carian
Google Pixel 9 Akan Menyokong Ciri Menjana Pelekat Seakan Apple Genmoji
June 19, 2024 Fahim Zahar

Minggu lepas Apple Intelligence telah dilancarkan iaitu teknologi kecerdasan buatan generatif tersendiri Apple yang diintegrasikan terus ke keseluruhan sistem iOS, macOS, iPadOS dan lain-lain. Salah satu ciri baharu adalah Genmoji iaitu menjana pelekat dan emoji menggunakan kecerdasan buatan generatif. Akan datang Google turut akan menawarkan ciri lebih kurang sama pada Pixel 9.

Google akan memanggil nama ciri ini sebagai Creative Assistant dan Android Authority menemui bukti yang ciri ini turut boleh menjana pelekat. Ciri ini dikatakan akan menjadi eksklusif kepada peranti Pixel dengan cip Tensor tetapi tidak pasti adakah untuk semua cip Tensor atau pada Tensor G4 untuk Pixel 9 sahaja.

Sumber turut menemui bukti yang Creative Assitant akan diintegrasikan ke dalam Google Markup iaitu aplikasi sistem untuk menyunting tangkapan layar. Di aplikasi ini akan terdapat butang “Remix” untuk AI menjana pelekat bersesuaian bagi ditambah pada tangkapan layar tadi. Informasi ini diperoleh melalui Android 15 Beta 3. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenai ciri AI pada Pixel.

Komen