Carian
SSD Gigabyte AI TOP 100E Hadir Dengan Ketahanan Penulisan Data 219 Ribu Terabyte
June 19, 2024 Nazrin

Storan SSD kini secara lazimnya hadir dengan kelajuan pembacaan dan penulisan data yang sangat pantas, dan digabungkan dengan jumlah storan yang tinggi, tetapi bergantung kepada cara anda menggunakan komputer anda, jangka hayat sebuah SSD ialah secara lazimnya 4-5 tahun bergantung kepada kadar ketahanan penulisann datanya.

Terkini, GIGABYTE telah memperlihatkan penawaran SSD PCIe Gen 4 mereka yang dinamakan GIGABYTE AI TOP 100E. Dari segi penawaran storan, SSD ini hadir dengan pilihan 1TB dan 2TB storan dengan kadar penulisan data 5900MB/s ke 6500MB/s dan kadar pembacaan data 7000MB/s ke 7200MB/s bergantung kepada saiz storan.

Keunikan SSD ini hadir dari tahap ketahanan penulisan datanya, dimana model 1TB mempunyai ketahanan penulisan data 109,500 TBW (Terabyte Write) manakala model 2TB pula hadir dengan ketahanan penulisan data 219,000 TBW. Sebagai contoh, ia bagaikan SSD ini menulis data pada kadar 2TB setiap saat selama 17 jam sehari untuk lima tahun.

Apabila dibandingkan dengan salah satu storan SSD PCIe 4 terbaik di pasaran, iaitu Samsung SSD 990 Pro, GIGABYTE mengatakan bahawa SSD AI TOP 100E mereka mempunyai ketahanan 183 kali lebih baik berbanding dengan penawaran Samsung tersebut.

Mereka juga mengatakan bahawa walaupun SSD ini tidak dipasarkan sebagai pilihan storan enterprise, ia boleh dimanfaatkan untuk pelbagai jenis tugasan seperti pembelajaran mesin, pemprosesan data kecerdasan buatan dan juga untuk gaming pada jangka masa lama tanpa masalah.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah GIGABYTE akan memperlihatkan penawaran SSD ini.

Komen