Carian
Google Circle To Search Kelak Akan Menyokong Carian Audio
June 19, 2024 Fahim Zahar

Circle to Search adalah ciri carian Google yang diperkenalkan bersama-sama dengan siri Samsung Galaxy S24. Ciri ini membolehkan pengguna melakar bulatan pada apa-apa imej terpapar di skrin peranti untuk melakukan carian dengan Google Search. Kaedah ini amat mudah dan berguna berbanding menggunakan Google Lens. Akan datang, Circle to Search mungkin menyokong carian audio pula.

Pembangun bebas AssembleDebug di X menemui ciri ini dalam fail APK aplikasi Google versi 15.24.28.29. Selepas pengguna akses Circle to Search, sebelum melakukan lakaran akan ada butang dengan nota muzik dan butang Google Translate dipaparkan. Teorinya, butang nota muzik ini akan membenarkan pengguna mencari sesuatu dengan audio. Fungsi jelas masih tidak diketahui tetapi berkemungkinan besar untuk hasil carian yang lebih diperibadikan selepas turut memberi audio.

Buat masa ini turut tidak pasti jika ciri ini hanya ujian semata-mata atau akan diberikan kepada semua pengguna kelak. Circle to Search kini boleh digunakan pada peranti Samsung terpilih, beberapa peranti Pixel dan akan datang pada kesemua peranti Android.

Komen