Carian
Google Menawarkan Promosi Masa Terhad Pelan AI Premium Google One 50% Lebih Murah – RM48.99 Sebulan
June 19, 2024 Fahim Zahar

Google One AI Premium adalah pelan langganan storan awan dengan kuota 2TB berserta akses kepada Gemini Advanced. Di Malaysia pelan ini berharga RM97.99 sebulan berbanding pelan 2TB biasa iaitu RM42.99 sebulan. Ia agak mahal tetapi Google menyedari perkara ini kerana sekarang mereka menawarkan 50% diskaun.

Pelan AI Premium sekarang adalah RM48.99 untuk dua bulan pertama sebelum bulan ketiga kembali menjadi RM97.99. Pada hemat saya ini adalah pelan AI paling mampu milik di Malaysia sekarang berbanding Copilot, Claude dan lain-lain yang juga berharga sekitar RM90 ke RM100. Jika anda ingin cuba menggunakan Gemini yang lebih berkuasa yang diintegrasikan ke pelbagai aplikasi dan perkhidmatan Google ini adalah peluang terbaik.

Saya menemui harga ini ketika sedang menguruskan tetapan akaun Google One, jadi saya tidak pasti apakah syarat yang melayakkan pengguna di Malaysia menerima diskaun ini. Di Amerika Syarikat, diskaun 50% diberikan kepada pengguna yang mencuba Gemini untuk dua bulan. Semasa minggu pelancaran saya melanggan pelan RM97.99 untuk sebulan bagi merasai pengalaman penggunaan. Ketika itu tidak berbaloi tetapi RM48.99 untuk dua bulan membuatkan saya ingin kembali melanggan. Apa kata anda?

Komen