Cari @ Amanz

Dell XPS 13 Dikuasakan Qualcomm Snapdragon X Elite Kini Di Malaysia Pada Harga RM6999

Oleh Nazrin

Link Copied!

Hari ini pelbagai jenama komputer riba telah mula memperlihatkan penawaran mereka yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon X. Di Malaysia, nampaknya Dell adalah jenama pertama yang memperlihatkan kompuer riba pertama melalui model Dell XPS 13 mereka.

Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 13 inci dengan pilihan paparan IPS ataupun OLED InfinityEdge dengan resolusi sehingga 3K (2880×1880). Bergantung kepada pilihan paparan ia juga hadir dengan fungsi sesentuh dan mempunyai nilai kecerahan sehingga 500 nit.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite dan tampil dengan pilihan memori LPDDR5X sebanyak 16GB, 32GB dan 64GB dengan storan SSD PCIe 4.0 dari 512GB sehingga 2TB. Buat masa ini, nampaknya hanya pilihan untuk cip Snapdragon X Elite yang ditawarkan, dan Snapdragon X Plus belum diperlihatkan lagi.

Rangka komputer riba ini diperbuat daripada bongkah aluminum, dan tampil dengan dua palam USB 4 Type-C yang juga boleh digunakan untuk mengecas bateri komputer riba dan juga menyokong teknologi DisplayPort 2.1 yang boleh disambungkan ke paparan yang menyokongnya.

Ia juga dilengkapi bateri 55Wh, dan Dell menjanjikan jangkahayat bateri sepanjang hari dengan pengecasan penuh, membolehkan anda membawa komputer riba ini kemana-mana sahaja, tanpa perlu membawa sebarang aksesori pengecasan. Anda juga boleh menggunakan pengecas 60W untuk mengecas bateri komputer riba ini dengan cepat.

Dell XPS 13 sudahpun mula ditawarkan di laman web Dell Malaysia, dan dengan spesifikasi paparan Full HD, memori 16GB dan storan SSD 512GB, ia boleh dibeli pada harga RM6999, dan tanda harganya meningkat sehingga RM9998 untuk spesifikasi dengan memori LPDDR5X 64GB dan storan SSD PCIe 4 2TB.


Komen ()