Carian
Pra-tempahan Untuk PC Gaming Kerdil ASUS ROG NUC Kini Dibuka Dengan Harga Permulaan RM8999
June 20, 2024 Nazrin

Salah satu produk komputer paling menarik yang diperlihatkan pada awal tahun ini, dan juga di acara Computex Taipei baru-baru ini ialah kehadiran komputer kerdil gaming berkuasa ASUS ROG NUC. ASUS telah membeli hak-milik tidak eksklusif untuk menggunakan jenama Next Unit of Computing keluaran Intel untuk produk-produk mereka, dan ini adalah salah satu daripadanya.

Baru-baru ini, salah satu pembekal kelengkapan PC terkemuka tempatan, Thundermatch telah membuka pra-tempah untuk komputer ASUS ROG NUC ini, dan dilihat menawarkan dua model yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 dan Intel Core Ultra 9, memori DDR5 16GB (8GBx2) dengan kelajuan 5600MHz dan storan SSD PCIe 4.0 yang boleh dinaiktarafkan sendiri.

Dari segi penawaran grafik, kedua-dua model ROG NUC ini menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan moden pada resolusi QHD dan 4K pada tetapan tinggi, dan boleh menyokong sehingga empat paparan skrin 4K menggunakan palam-palam video yang hadir melalui kad grafik ini.

Thundermatch mengatakan bahawa pra-tempahan untuk komputer ini sudahpun mula dibuka pada 15 Jun ini, dan akan berterusan sehingga 30 Jun 2024. Mereka menjangkakan bahawa model-model ASUS ROG NUC ini akan tiba ke kedai mereka sekitar awal Julai 2024.

Untuk pra-tempahan, model ASUS ROG NUC tidak kelihatan di laman web mereka buat ketika ini, tetapi menurut pos di laman Facebook mereka, pra-tempahan boleh dibuat di kedai-kedai fizikal mereka. Tanda harga untuk komputer ini ditetapkan pada RM8999 untuk model yang dikuasakan cip Intel Core Ultra 7, dan RM10,999 untuk komputer yang dikuasakan cip Intel Core Ultra 9.

Pra-tempahan untuk ASUS ROG NUC ini juga layak untuk membuat pembelian PWP (purchase with purchase) untuk produk-produk seperti papan kekunci ROG Azoth, alat kawalan permainan ROG Raikiri, tetikus ROG Keris Wireless Aimpoint dan sebagainya.

Komen