Carian
Langganan YouTube Premium Dibatalkan Jika Menggunakan VPN Untuk Harga Lebih Murah
June 20, 2024 Fahim Zahar

YouTube amat tegas kepada pengguna mereka sekarang. Perkara paling mengejutkan adalah penggunaan perisian atau pemalam penghalang iklan akan membuatkan pengguna sukar menonton video jika tidak melanggan YouTube Premium. Terbaru, langganan YouTube Premium kini dibatalkan jika YouTube mengesan pengguna melanggan dengan harga murah menggunakan sambungan VPN.

Kaedah menggunakan VPN dan menukar lokasi negara masing-masing bukannya perkara baharu. Saya sendiri pernah menggunakan kaedah ini untuk Netflix, saya pernah lihat orang ramai menggunakannya untuk membeli permainan PlayStation dan banyak lagi. Dengan menggunakan VPN misalnya tukar dari Malaysia ke Turki, harga langganan boleh didapatkan lebih murah berbanding negara asal. Di Malaysia YouTube Premium boleh dilanggan pada harga bermula RM17.90 sementara di Turki adalah RM8.40 sebulan.

Pengguna yang terbabit menerima emel daripada Google menyatakan langganan mereka telah dibatalkan dan untuk menikmati semua manfaat masing-masing perlu melanggan semula. Walaupun Google tidak mengeluarkan kenyataan rasmi lagi, tetapi ramai pengguna di Reddit yang menerima nasib sama semuanya menggunakan VPN untuk melanggan pada harga lebih murah. Jalan penyelesaian sekarang adalah tunggu langganan anda dibatalkan dan langgan semula mengikut pelan di Malaysia.

Komen