Carian
HMD
HMD Skyline Tertiris Dengan Cip Snapdragon 7s Gen 2 Dan Rekaan Nokia Lumia
June 20, 2024 Fahim Zahar

Nokia Lumia atau Microsoft Lumia adalah keluarga telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Windows Phone. Antara keunikan pada peranti Lumia adalah rekaannya dengan skrin seakan rata sepenuhnya dan panel belakang yang ada pilihan pelbagai warna. Selepas Lumia dihentikan, tiada pengeluar yang berani menggunakan rekaan lebih kurang sama sehinggalah yang tertiris baru-baru ini oleh HMD.

HMD Skyline adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang dijana cip Snapdragon 7s Gen 2. Rekaan yang tertiris dilihat mirip dengan peranti Lumia lama yang berwarna kuning. Bingkai peranti direka untuk menjadi besar dengan bucu tajam dan skrin berada di tengah-tengah menampakkan peranti seakan mempunyai banyak bezel.

Skyline dikatakan adalah sebuah peranti Android dengan memori 8GB RAM, kamera 108MP, skrin OLED FHD+, menggunakan bateri 5000mAh dengan pengecasan 33W, dan turut menyokong perlindungan air dan debu IP67. Peranti ini dikatakan akan dilancarkan pada bulan Julai nanti dengan harga jualan premium iaitu sekitar RM2,627 (€520). Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai peranti ini.

Komen