Carian
Perisian Kaspersky Diharamkan Di Amerika Syarikat
June 21, 2024 Effi Saharudin

Amerika Syarikat hari ini mengharamkan penjualan semua aplikasi keluaran Kasperksy Lab atas sebab-sebab keselamatan. Kaspersky dikatakan mendatangkan risiko sekuriti kerana didakwa mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Rusia dan boleh membantu menjadi agen intipan apabila perisian digunakan di Amerika Syarikat.

Pelesenan dan penjualan perisian baharu tidak lagi boleh dilakukan selepas 20 Julai sementara kemas kini perisian sedia ada tidak lagi boleh dilakukan selepas 29 September. Tempoh 100 hari yang diberikan selepas pengumuman pengharaman diberikan bagi membolehkan perniagaan yang menggunakan perisian Kaspersky mencari alternatif dalam masa terdekat.

Sebelum ini perisian yang dibangunkan Kaspersky hanya diharamkan digunakan pada perkakasan dan rangkaian milik kerajaan sahaja juga atas faktor keselamatan. Penjualan perisian aplikasi pihak ketiga yang mengintegrasikan perkhidmatan Kaspersky juga turut diharamkan di Amerika Syarikat.

Selain mengharamkan urusan perniagaan dengan Kaspersky, Amerika Syarikat turut mengenakan sekatan ke atas dua syarikat Rusia dan satu di UK kerana didakwa membantu agensi risikan Rusia melakukan serangan siber.

Kaspersky Lab ditubuhkan pada tahun 1997 dengan ia menawarkan perisian antivirus, keselamatan internet, pengurusan kata lalau dan pelbagai lagi produk keselamatan siber. Sejak konflik Ukraine-Rusia bermula dua tahun lalu, perniagaan Kaspersky Lab di Rusia telah dikenakan sekatan oleh Amerika. Pengumuman hari ini menghalang kesemua perniagaan Kasperksy daripada berurusan di Amerika.

Komen