Carian
Realme Buds Air6 dan Buds Air6 Pro Turut Dilancarkan – Harga Bermula RM299
June 21, 2024 Effi Saharudin

Selain Realme GT 6 dan GT 6T, dua TWS terbaru Realme Buds Air6 dan Buds Air6 Pro turut dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Realme Buds Air6 ialah TWS dengan pemandu audio sebesar 12.4mm dengan ia turut mempunyai sistem pembatalan hingar ANC yang boleh meredam bunyi sehingga 50dB. Terdapat juga mod ANC adaptif yang mengubah kekuatan sistem berdasarkan situasi.

Pada peranti Android, Google Fastpair disokong. Pad sesentuh terbina pada bahagian tangkai bagi mengawal aplikasi muzik atau melakukan panggilan telefon. Fon telinga melepasi piawaian kalis percikan air IP55.

Bagi peminat audio resolusi tinggi pula, fon telinga ini menyokong codec LHDC 5.0. Akhir sekali Buds Air 6 boleh beroperasi sehingga 6.5 jam dan meningkat ke 26 jam dengan bantuan pod pengecas dalam mod ANC. Ia meningkat ke sehingga 40 jam sekiranya ANC dimatikan.

Realme Buds Air6 Pro pula adalah model lebih premium oleh itu ialah dilengkapi dua pemandu audio. Satu pemandu bass 11mm dan satu tweeter sebesar 6mm. Sistem ANC meredam bunyi sehingga 50dB dengan kemampuan adaptif bergantung kepada bunyi persekitaran. Ia juga menyokong Google Fastpair, mempunyai pad sesentuh pada tangkai dan melepasi piawaian kalis percikan IP55. Sensor telinga juga diberikan untuk menjeda muzik secara automatik.

Prestasi audio lebih tinggi kerana sokongan codec LDAC serta audio spatial 360 darjah. Sepasang Buds Air 6 Pro boleh beroperasi selama 7.5 jam dan meningkat ke 28 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya ANC diaktifkan. Ia boleh meningkat ke sehingga 40 jam jika ANC dimatikan.

Di Malaysia harga jualan Realme Buds Air 6 ialah RM299 manakala Realme Buds Air 6 Pro pula dijual pada harga RM399.

Komen