Carian
Bugatti Tourbillon Ialah Kereta Hibrid Super Dengan 1800 Kuasa Kuda
June 21, 2024 Effi Saharudin

Bugatti melancarkan model kereta baharu pertama mereka dalam tempoh 16 tahun semalam yang diberi nama Bugati Tourbillon. Ia juga menjadi kenderaan hibrid pertama keluaran Bugatti dengan ia mempunyai kuasa mencecah 1800 kuasa kuda menerusi gabungan enjin petrol V16 8.3 liter yang dipadankan kepada tiga motor elektrik.

Dua motor elektrik diletakkan di gandar hadapan dan satu lagi di belakang. Menurut Bugatti, kereta hibrid super ini boleh memecut dari 0-100 kmj dalam masa 2 saat. Ia kemudiannya boleh mencapai kelajuan maksimum 380 kmj dalam masa 25 saat sahaja. Pek bateri dengan kapasiti 25 kWh membolehkan Tourbillon bergerak dengan hanya kuasa elektrik sejauh 60 kilometer.

Sesuai dengan namanya, kesemua tolok di dalam kabin menggunakan meter analog. Terdapat satu skrin LCD yang tersorok sekiranya pemilik ingin menggunakan telefon pintar dengan sokongan Apple Car Play. Keunikan lain Tourbillon ialah tolok instrumen pemandu diletakkan di tengah-tengah stereng dengan ia tidak kekal statik di tengah-tengah. Roda stereng yang berputar berpaksikan tolok instrumen analog yang kelihatan seperti jam tangan mewah.

Hanya 250 buah Bugati Tourbillon akan dikeluarkan setiap satunya pada harga 3.6 juta Euros (~RM18 juta). Ujian masih lagi dilakukan ke atas Tourbillion dengan jualan hanya akan dibuka pada tahun 2026.

Komen