Carian
Suntikan Mengelakkan Jangkitan HIV Berjaya Diuji Dengan Keberkesanan 100%
June 21, 2024 Effi Saharudin

WHO menganggarkan terdapat 39 juta pesakit HIV yang hidup di dunia dengan kadar kematian pula sekitar 630,000 setahun. Angka yang nampak tinggi tetapi 20 tahun yang lalu ia adalah sekitar 2 juta setahun. Perkembangan teknologi perubatan dan rawatan awal berjaya menghilangkan stigma HIV Ialah penyakit yang pasti membawa maut.

Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Oleh sebab itu vaksin dan suntikan pencegahan sedang dibangunkan syarikat farmaseutikal utama. Terkini Gillead Sciences mengumumkan kejayaan ujian klinikal mereka ke atas dadah Lenacapavir yang dilakukan di Afrika Selatan dan Uganda.

Dalam ujian dengan 5300 peserta wanita dan kanak-kanak perempuan, Lenacapavir berjaya mengelakkan jangkitan HIV pada kesemua penerimanya yang diberikan secara suntikan dua kali setahun. Ia lebih berkesan berbanding dadah Truvada yang juga dibangunkan mereka tetapi memerlukan ia diambil dalam bentuk pil setiap hari.

Fasa ujian Lenacapavir seterusnya sedang dilakukan dengan ia melibatkan golongan transpuan, transtuan dan lelaki yang melakukan hubungan kelamin dengan lelaki. Keputusan ujian ini akan diumumkan menjelang penghujung 2024. Jika ia turut memberikan keputusan yang baik Gillead Sciences akan memfailkan permohonan untuk Lenacapavir dibenarkan untuk digunakan dalam rawatan pencegahan HIV.

Komen