Carian
Malaysia Kini Dalam Proses Bertukar Menggunakan Alamat IPv6 Sepenuhnya
June 21, 2024 Nazrin

Alamat IP ialah sebuah alamat digital yang digunakan untuk menyambungkan peranti-peranti ke rangkaian internet, dan secara lazimnya bukanlah sesuatu yang perlu diendahkan oleh pengguna. Tetapi pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, melalui Derek John Fernandez telah membuat sebuah pengumuman menarik tentang peralihan Malaysia ke arah penggunaan IPv6 sepenuhnya.

Kini, sambungan ke rangkaian internet di Malaysia menggunakan gabungan alamat IPv4 dan IPv6, dan pihak SKMM telah mengumumkan bahawa mereka sedang berada dalam proses untuk menukarkan penggunaan alamat IPv4 ke IPv6 sepenuhnya dalam tempoh tiga ke lima tahun lagi.

Di antara kelebihan yang dapat diperlihatkan dalam penggunaan IPv6 ialah jumlah alamat yang lebih banyak. IPv4 menggunakan alamat 32-bit yang terdiri daripada empat blok angka 8-bit yang mana jumlah alamat yang boleh digunakan adalah terhad kepada 4.3 bilion alamat sahaja.

Dengan IPv6, ia menggunakan alamat 128bit yang mana setiap alamat terdiri daripada lapan blok angka 16 bit, yang secara ringkasnya memberi gabungan angka untuk jumlah alamat yang tiada had. Selain daripada itu, penggunaan alamat IPv6 juga menjanjikan proses keselamatan yang lebih terjamin apabila anda melayari laman web.

Kerajaan juga dilihat akan cuba untuk mendapatkan nombor pendaftaran National Internet Registry supaya alamat-alamat ini dapat diambil-alih di bawah naungan kerajaan, yang mana ia akan memakan masa sekitar tiga ke lima tahun, seperti yang dikatakan.

Peralihan ke penggunaan alamat IPv6 sepenuhnya juga dilihat akan mengambil masa yang lama kerana pelbagai perubahan yang perlu dilakukan dari segi sokongan kelengkapan, kepakaran dan sebagainya untuk syarikat-syarikat internet dan telekomunikasi tempatan untuk memanfaatkan teknologi ini.

Dengan pengumuman ini, ia juga dilaporkan bahawa Malaysia merupakan negara ketiga yang akan memulakan proses pemindahan ke penggunaan alamat IPv6 secara penuh.

Komen