Carian
Hampir Separuh Pekerja Dell Sanggup Tidak Naik Pangkat Demi Bekerja Dari Rumah
June 21, 2024 Effi Saharudin

Pandemik empat tahun lalu menyebabkan norma baharu bekerja dari rumah diperkenalkan oleh ribuan syarikat demi kelangsungan perniagaan. Perintah kawalan pergerakan memaksa majikan yang selama ini enggan membenarkan kakitangan bekerja dari rumah memberikan kelonggaran. Hasilnya ramai menyedari tiada produktiviti hilang apabila bekerja dari rumah dan keseimbangan kerja dan kehidupan dapat dicapai.

Tetapi Dell mengeluarkan arahan kepada kakitangan untuk kembali bekerja di pejabat pada Februari lalu. Mereka yang enggan kembali akan berhadapan tidak dinaikkan pangkat. Selepas beberapa bulan arahan dikeluarkan, hampir separuh kakitangan Dell di Amerika Syarikat memilih untuk kekal bekerja dari rumah. Risiko tidak naik pangkat langsung tidak mampu membuatkan mereka mengubah fikiran. Sementara itu di kalangan kakitangan antarabangsa pula, hampir satu per tiga pula memilih untuk mengambil keputusan yang sama.

Antara sebab yang diberikan oleh kakitangan ini ialah penjimatan kos perjalanan ke pejabat setiap hari dan memberikan kepentingan kepada kebebasan bekerja di rumah. Ramai turut merasakan kerja yang mereka lakukan tidak terganggu walaupun bekerja dari rumah menyebabkan arahan kembali tidak munasabah.

Secara peribadi saya lebih gemar bekerja dari rumah. Selepas menghantar anak ke sekolah boleh terus ke restoran untuk makan pagi sambil bekerja sebelum jam 9 pagi. Tiada tekanan meredah kesesakan lalulintas pergi dan balik dari pejabat. Hasilnya lebih banyak kerja boleh dilakukan setiap hari.

Komen