Carian
HarmonyOS Kini Menguasakan Lebih 900 Juta Peranti Seluruh Dunia
June 21, 2024 Aman

Huawei kini berkongsi menyatakan sistem operasi yang dibangunkan oleh mereka sendiri, iaitu HarmonyOS menjana lebih daripada 900 juta peranti seluruh dunia. Seperti ramai sedia maklum, sistem operasi ini bukan sahaja menjana tablet dan telefon pintar, tetapi juga jam tangan pintar, televisyen, mahupun sistem dalam kereta.

Selari dengan perkongsian ini, Huawei turut mengumumkan pengenalan HarmonyOS Next yang bakal menguasakan Huawei Mate 70 kelak. Sistem operasi baharu ini akan melakukan peralihan penuh dan tidak lagi berasaskan kepada Android. Versi beta untuk sistem operasi ini akan diperkenalkan pada bulan Ogos.

Huawei sebelum ini telah memperkenalkan HarmonyOS pada 2019, selepas mereka diharamkan daripada berdagang dengan syarikat Amerika Syarikat. Sejak daripada itu, Huawei telah mula membangunkan sistem operasi sendiri dengan berasaskan kepada Android, dan kini melangkah setapak lagi dengan menggantikan pelbagai komponen berasaskan Android serta beralih kepada sistem mereka sepenuhnya.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Huawei akan memfokuskan pengenalan sistem operasi ini sepenuhnya pada peringkat global. Sama-sama kita nantikan langkah Huawei untuk menerajui kembali arena peranti pintar melalui sistem operasi mereka tersendiri ini tanpa bergantung kepada pihak lain.

Komen