MSI Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa pra-tempahan untuk komputer riba gaming terbaru mereka, iaitu MSI Stealth 18 Mercedes AMG Edition akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dan pra-tempahan untuk komputer riba ini sudahpun dibuka.

Komputer riba ini tampil dengan paparan skrin Mini LED gergasi 18 inci yang sangat besar sekali untuk sebuah komputer riba dan tampil dengan resolusi 4K dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core 9 Ultra 185H dan dimuatkan dengan memori DDR5 64GB dalam konfigurasi dwi-saluran, bersama-sama dengan storan SSD PCIe 4.0 bersaiz 2TB.
Dari segi penawaran grafik pula, MSI Stealth 18 Mercedes AMG Edition ini dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan apa sahaja permainan komputer moden pada resolusi dan juga tetapan yang tinggi.

Komputer riba ini hadir dengan rekaan serba hitam dan mempunyai beberapa bahagian yang mempunyai elemen unik seperti kekunci WASD yang diperbuat daripada plastik berkilat dengan abjad berwarna merah, butang kuasa yang mempunyai rekaan butang memulakan kereta Mercedes, dan juga logo Mercedes AMG di bahagian penutup paparan skrin.

Dari segi palam, komputer riba ini dimuatkan dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-C dan pembaca kad SD bersaiz penuh dan menyokong sambungan WiFi 7 yang terbaru.

Dalam pada itu, komputer riba ini juga tampil dengan pelbagai aksesori tambahan, seperti tempat menyimpan komputer riba, tetikus, pad tetikus, penyesuai palam USB Type-C, poskad, dan juga sebuah kotak komputer riba yang hadir dengan rekaan menarik.

MSI Malaysia mengatakan bahawa pra-tempahan untuk MSI Stealth 18 Mercedes AMG Edition ini sudahpun bermula hari ini sehingga 30 Jun 2024, dan hadir dengan tanda harga RM18,999.

Bukan itu sahaja, setiap pra-tempahan ini akan hadir dengan sebuah replika kereta lumba Mercedes AMG GT3 pada skala 1:18 secara percuma.