Carian
ByteDance Dilaporkan Bekerjasama Dengan Broadcom Untuk Membina Cip AI Tersendiri
June 24, 2024 Nazrin

Kebelakangan ini, ia dilihat agak mustahil untuk syarikat teknologi dari China bekerjasama dengan syarikat teknologi Amerika Syarikat, khususnya apabila kerjasama ini berkaitan dengan pembangunan cip semikonduktor untuk tujuan kecerdasan buatan.

Terkini, ia dilaporkan bahawa ByteDance, syarikat disebalik TikTok akan bekerjasama dengan Broadcom, sebuah syarikat pembuat cip pemprosesan untuk membangunkan sebuah cip AI yang akan dibina menggunakan proses 5nm.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai cip pemprosesan AI ini, cuma ia akan direka oleh kedua-dua syarikat ini, dan akan dikilangkan oleh TSMC di Taiwan. Dan apa yang menariknya ialah cip yang dibangunkan ini dijangka akan melepasi sebarang sekatan ekonomi dan teknologi yang ditetapkan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Cip ini masih lagi berada dalam fasa rekaan, dan pengilangannya dijangka hanya bermula sekitar tahun hadapan. Ia tidak diketahui lagi apakah tujuan ByteDance dilihat membangunkan cip AI ini, tetapi butiran mengenainya dijangka akan diumumkan kelak apabila fasa rekaan memasuki fasa prototaip.

Komen