Carian
Ulasan Beg Jinjing Apple The Exchange TRX – Berbaloikah Beli Sampai RM1000?
June 24, 2024 Effi Saharudin

Apple The Exchange TRX ialah Apple Store pertama dibuka di Malaysia dengan ia menjadi tumpuan warganet kerana ratusan peminat tegar sanggup beratur panjang demi menjadi antara pelawat yang terawal. Sebagai ganjaran, peminat-peminat tegar ini menerima beg jinjing edisi khas secara percuma yang kemudiannya sepantas cip Apple M4 dijual semula pada harga mencecah puluhan ribu ringgit.

Ini menimbulkan persoalan eksistensialis sama ada berbaloi ataupun tidak membayar sehingga empat angka semata-mata untuk seutas beg kanvas edisi terhad? Di Amanz kami memandang serius persoalan ini kerana kami antara segelintir yang menerima beg Apple The Exchange TRX ketika sesi tertutup Apple dengan media tempatan.

Rekaan

Rekaan adalah minimalis tetapi masih lagi selesa digunakan. Setiap beg jinjing diterima di dalam kotak kertas yang tidak mempunyai sebarang komponen plastik selari dengan sasaran Apple untuk mengurangkan penggunaannya bagi mencapai sasaran menjadi syarikat yang lebih lestari. Terdapat logo Apple yang bertekstur di bahagian penutup menyamai rekaan bumbung Apple The Exchange TRX.

Pada bahagian sisi terdapat perkataan Apple The Exchange TRX dalam warna kelabu. Tiada tarikh pembukaan, maklumat mengenai di mana beg jinjing dihasilkan, siapa pereka grafik dan kod QR yang biasanya disertakan pada kotak produk Apple.

Di dalam kotak terdapat sebuah beg jinjing kanvas yang berwarna putih kekuningan. Beg adalah sebesar 15 x 15″ (39 x 39 cm) dengan tali beg pula sepanjang 10″ (27cm). Dari segi saiz, ia mempunyai dimensi yang sama seperti kebanyakan beg jinjing yang boleh dibeli di Tesco, Hankyu Jaya, Billion, 99 Speed Mart dan Pustaka Rahmath berhampiran anda.

Yang memberikan kelainan pad beg jinjing Apple ialah, ia mempunyai satu lagi poket mini sebesar 5.5 x 6.0 inci (14 x 15 cm) di bahagian dalam. Sebagai pengguna beg jinjing sejak masih di bangku sekolah rendah, ini kali pertama saya melihat kewujudan poket kecil seperti ini disertakan. Jelas sekali ini ialah inovasi yang akan menjadi ikutan pengeluar beg jinjing dalam masa terdekat.

Anda mungkin merasakan saya sedang mengajing tetapi sebenar tidak. Sudah lama saya mahukan beg jinjing kanvas dengan poket sekunder yang lebih kecil. Anak saya menggunakan beg jinjing seperti ini untuk membawa bekal ke sekolah dan dia kerap merungut sudu serta garpu yang dibawa terperosok di bawah bekas makanan yang dibawa. Kantung kecil seperti ini memudahkan barangan lebih kecil dikeluarkan tanpa perlu menyeluk sehingga ke pangkal lengan seakan mencari pekasam. Ia turut boleh dijadikan tempat simpanan Apple AirTag supaya beg yang hilang lebih mudah dijejak lokasinya.

Di hadapan beg jinjing ini terdapat perkataan JOM dalam warna emas yang sekali lagi menggunakan elemen bumbung nasi lemak Apple The Exchange TRX. Bagi orang-orang yang berusia seperti saya, reka huruf yang digunakan mirip dengan yang digunakan pada poster filem Boogie Nights arahan Paul Thomas Anderson pada tahun 1997.

Ia adalah reka huruf yang sangat ceria dan mungkin sebuah Easter egg daripada Apple untuk warga Malaysia berboogie (menari dengan rancak) sempena pelancaran stor pertama. Di sebelah satu lagi tertera pula perkataan Apple The Exchange TRX juga dalam warna emas

Penggunaan

Seperti beg jinjing lain, beg jinjing ini boleh digunakan untuk pelbagai tugas membawa barang-barang pemilik. Ia mempunyai isipadu yang cukup besar untuk menyimpan sebuah AirPods Pro, MacBook Pro 16″, MacBook Air M2, iPad Air dan Mac Mini. Jika anda berhajat menggunakan beg ini untuk membawa makanan, ia mempunyai kapasiti yang cukup untuk menempatkan empat lapisan tiga besar bekas plastik makanan IKEA yang berisi bebola daging köttbulle, kentang lecek, jem strawberi, kuah enak dan brokoli yang distim.

Kerana tali beg adalah agak nipis dan tidak mempunyai sebarang pelapik, saya tidak sarankan anda membawa AirPods Pro, MacBook Pro 16″, MacBook Air M2, iPad Air dan Mac Mini secara serentak. Walaupun muat, ia akan membuatkan anda sakit bahu.

Mungkin selepas ini Apple boleh menawarkan beg jinjing Apple The Exchange TRX Pro Max dengan saiz lebih besar dan pelapik pada bahagian pemegang bagi mengurangkan kesakitan pada bahu. Ini boleh diberikan sebagai hadiah ketika pembukaan Apple Store Malaysia yang seterusnya.

Kerana ia diperbuat daripada kanvas, pemilik perlu berhati-hati apabila membawa barang. Ia tidak kalis air dan tidak mempunyai zip penutup di bahagian atas. Jika hujan, kandungan pasti akan basah lencun. Saya juga sedikit risau dengan warna putih beg ini kerana ia mungkin akan lebih mudah nampak kotor. Semasa Apple Central World Thailand dibuka beberapa tahu lalu, beg jinjing berwarna hitam diberikan kepada pelawat terawal. Warna ini saya rasakan lebih mesra penggunaan jangka masa panjang.

Kesimpulan

Beg jinjing Apple The Exchange TRX ialah beg yang praktikal, mudah digunakan dan mempunyai ciri tambahan menarik yang tidak wujud pada beg jinjing lain di pasaran. Saiznya cukup besar untuk majoriti keperluan membawa barangan harian pemilik. Adakah berbaloi membayar sehingga RM1000 untuk beg ini? Jawapan saya tidak sama sekali kecuali jika anda memang pengumpul memorabilia Apple yang tegar.

Sebagai perbandingan Thule ada menjual beg sandang pada harga RM800 sebuah dengan ia mempunyai ruang simpanan yang lebih besar, lebih banyak poket untuk barangan kecil, kalis air dan mempunyai pelapik bahu tebal bagi mengurangkan kesakitan membawa barangan berat.

Kepada mereka yang mempunyai beg jinjing Apple The Exchange TRX, saya sarankan anda simpan memorabilia edisi terhad ini kerana berdasarkan pengalaman peribadi – memori hari pembukaan adalah lebih bernilai berbanding wang ringgit. Kepada yang sanggup membayar ratusan ringgit untuk membelinya pula, saya tidak akan menghakimi anda. Anda manusia dewasa dan bebas membelanjakan wang untuk membeli sesuatu yang dirasakan berbaloi untuk anda.

Pro

  • Kapasiti besar untuk membawa pelbagai barangan harian.
  • Terdapat poket sekunder untuk barangan kecil.
  • Rekaan minimalis yang bergaya.
  • Edisi terhad.

Kontra

  • Warna putih yang akan mudah menangkap kekotoran.
  • Kanvas tidak kalis air.
Komen