Carian
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange Dibebaskan Dari Penjara
June 25, 2024 Effi Saharudin

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange dibebaskan daripada penjara di Britain selepas mengaku salah ke atas kesalahan melanggar undang-undang anti intipan Amerika Syarikat. Assange telah dipenjarakan di Britain sejak 2019 dan sebelum ini terperangkap di dalam kedutaan Ecuador sejak 2012 bagi mendapatkan suaka politik.

Gambar oleh  Cancillería del Ecuador

Assange seorang warga Australia kini dalam perjalanan Pulau Mariana Utara yang merupakan ahli komenwel Amerika Syarikat untuk merekodkan pengakuan bersalah beliau di hadapan seorang hakim. Selepas mengaku bersalah, beliau akan dibebaskan untuk kembali semula ke Australia. Pulau Mariana Utara dipilih kerana Assange dilaporkan tidak mahu menjejakkan kaki di tanah besar Amerika Syarikat dan lokasinya yang lebih hampir ke Australia.

Semasa mengendalikan WikiLeaks, Assange dikatakan memberikan arahan kepada Chelsea Manning, bekas penganalisis perisikan tentera Amerika untuk mencuri dokumen rahsia kemudian ditiriskan menerusi laman tersebut. Sebanyak 750,00 dokumen rahsia, sensitif, diplomatik dan ketenteraan telah ditiriskan oleh Manning menerusi WikiLeaks.

Antara rahsia yang ditiriskan ialah kesalahan jenayah tentera Amerika membunuh orang awam di Iraq menggunakan helikopter tempur Apache dan juga di Afghanistan. Manning dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun tetapi diberikan pengampunan oleh Presiden Obama selepas dipenjarakan selama 7 tahun.

Komen