Carian
Gen Menentang Obesiti Ditemukan Pada Warga Asia Tenggara Dan Selatan China
June 25, 2024 Effi Saharudin

Malaysia pada ketika ini ialah negara dengan peratusan penduduk dengan masalah obesiti kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Brunei. Ini turut menyebabkan Malaysia juga mencatatkan kes tinggi penyakit diabetes, jantung, darah tinggi dan kanser. Ironi di sini ialah saintis dari China telah menemukan gen yang merendahkan risiko obesiti di kalangan penduduk Asia Tenggara dan Selatan China.

Kajian oleh Profesor Jin Li dan Profesor Madya Zheng Hongxiang dari Universiti Fudan mendapati gen M7b1a1 pada DNA mitokondria mengurangkan risiko obesiti kerana ia merendahkan fungsi mitokondria. Oleh itu ia tidak menyimpan tenaga dan menghasilkan lebih banyak haba yang mendorong tubuh untuk tidak menyimpan lemak. Mitokondria ialah “stesen janakuasa” yang menghasilkan tenaga untuk sel berfungsi.

Menurut hipotesis yang dibentangkan, M7b1a1 muncul dalam tubuh manusia bagi membolehkan mereka hidup ketika zaman air batu. Ia kemudiannya berkembang pada populasi Asia Tenggara dan Selatan China dalam tempoh 15,000 tahun.

Ini mungkin antara sebab China mempunyai kadar obesiti yang rendah (di tangga 175 daripada 193 negara) jika dibandingkan dengan negara maju yang lain. Negara-negara Asia Tenggara pula secara purata mempunyai kadar obesiti yang lebih rendah berbanding di Eropah dan Amerika Utara.

Dua penyelidik melihat kajian lebih mendalam ke atas M7b1a1 boleh membantu saintis memahami lebih lanjut mengenai obesiti dan bagaimana ia boleh dikawal pada tubuh manusia. Kajian ini telah diterbitkan di dalam Journal of Genetics and Genomic.

Komen