Carian
Play For Dream Memperkenalkan Pencabar Apple Vision Pro – Play For Dream MR
June 25, 2024 Nazrin

Persaingan diantara pembangun peranti MR ataupun Mixed Reality nampaknya semakin rancak dengan penawaran-penawaran yang menarik. Terkini, sebuah syarikat teknologi dari China, Play For Dream akan memasuki pasaran Asia Pasifik dengan penawaran peranti MR mereka tersendiri yang dinamakan Play For Dream MR.

Play For Dream MR hanya baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2020 untuk membangunkan peranti menggunakan teknologi Mixed Reality, dan setakat ini, mereka sudahpun mempunyai dua buah peranti dibawah mereka yang dinamakan Play For Dream YVR 1 dan YVR 2 yang merupakan dua peranti realiti maya yang dibangunkan pada tahun 2021 dan 2022.

Untuk peranti ketiga mereka, syarikat ini dilihat mengubah sedikit hala-tuju mereka setelah melihat apa yang ditawarkan oleh Apple dengan peranti Apple Vision Pro. Play For Dream MR dibangunkan dengan falsafah untuk membawa konsep spatial computing ke pasaran yang lebih meluas.

Butiran teknikal peranti Play For Dream MR ini cukup menarik sekali. Pertama, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon XR2+ Gen 2 yang disambungkan ke 11 buah kamera, tujuh jenis pengimbas dan 22 LED inframerah yang menjanjikan penjejakan mata dan pergerakan yang cepat dan cukup tepat sekali dengan masa pendam penjejakan serendah 14ms sahaja.

Dalam pada itu, peranti ini juga dilengkapi dengan 16GB memori LPDDR5X dan storan dalaman UFS 3.1 dengan pilihan storan 512GB dan 1TB bergantung kepada keperluan pengguna. Pihak Play For Dream belum mengesahkan spesifikasi sistem operasi yang digunakan pada peranti MR ini, tetapi ia menggunakan sejenis sistem operasi Android yang hanya akan disahkan dalam beberapa bulan lagi.

Skrin dalaman peranti Play For Dream MR ini juga menggunakan dua skrin Micro OLED dengan resolusi 4K untuk setiap bahagian kiri dan kanan, dan bergabung untuk memberi pengguna resolusi gabungan 8K dengan kadar segar semula 90Hz yang stabil untuk mengurangkan kemungkinan isu pening kepala dan rasa mual apabila menggunakannya.

Dalam pada itu, peranti MR ini juga mempunyai pembesar suara terbina yang ditala oleh DTS yang memberikan pengalaman mendengar audio spatial tanpa perlu memasang sebarang fon kepala seperti apa yang diperlukan pada peranti-peranti MR yang lain.

Sebagai sebuah peranti yang memfokuskan kepada gaya hidup, alat kawalan Play For Dream MR ini juga telah direka untuk lebih mudah digunakan oleh pengguna, dan alat kawalan ini akan membolehkan anda untuk mengawal pelbagai input yang diperlihatkan melalui peranti perkomputeran spatial ini, seperti membesarkan dan mengecilkan paparan maya, menukar perisian yang digunakan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Play For Dream juga mengatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan pelbagai pembangun aplikasi untuk menambahkan sokongan perisian yang bukan sahaja akan memanfaatkan penggunaan gaya hidup kasual, tetapi juga membolehkan golongan profesional untuk memanfaatkan peranti MR Play For Dream MR ini sebagai alat perangsang kreativiti dan produktiviti yang akan memudahkan tugas-tugas mereka.

Tanda harga rasmi untuk peranti MR Play For Dream MR tidak diketahui lagi (tetapi lebih murah berbanding Apple Vision Pro), tetapi pihak syarikat tersebut telah mengesahkan bahawa peranti ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia dan Singapura terlebih dahulu pada bulan Oktober 2024 sebelum ia akan diperkenalkan di pasaran-pasaran lain seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Jepun pada 2025.

Komen