Carian
China Berjaya Menguji Roket Yang Boleh Mendarat Semula Seakan SpaceX
June 26, 2024 Effi Saharudin

Pada tahun 2022, Agensi Angkasa Kebangsaan China (CNSA) menyatakan hasrat untuk menggunakan sistem roket yang mampu mendarat semula ke bumi seakan roket yang digunakan SpaceX. Minggu ini Shanghai Academy of Spaceflight Technology (SAST) mengumumkan kejayaan mereka melancarkan roket dengan kemampuan ini di Gurun Gobi.

Ujian dilakukan pada 23 Jun dengan roket yang dilengkapi tiga enjin metana-oksigen cecair berjaya dilancarkan sehingga ketinggian 12 kilometer sebelum mendarat semula ke bumi. Seperti roket SpaceX Falcon 9, roket SAST mempunyai empat tongkat yang membolehkan pendaratan secara menegak dilakukan.

Roket kali ini mempunyai diameter 3.5 meter tetapi tahun depan SAST akan melakukan ujian roket dengan diameter 4 meter pula dengan kemampuan melancarkan kargo seberat 6500 kilogram ke orbit 300 kilometer dari bumi. Perancangan seterusnya ialah roket dengan diameter 7 meter pula dengan kemampuan melancarkan kargo seberat 20,000 kilogram ke orbit 300 kilometer dari bumi.

Roket yang boleh kembali mendarat ke bumi dan dikitar semula akan mengurangkan kos pelancaran berbanding roket Long March yang digunakan CNSA untuk misi mereka sekarang.

Komen