Carian
Redmi Pad Pro Kini Ditawarkan Di Malaysia Pada Harga RM999
June 26, 2024 Nazrin

Jika anda sedang mencari sebuah tablet Android yang hadir dengan tanda harga mampu milik, Xiaomi Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tablet terbaru mereka dibawah jenama Redmi, iaitu Redmi Pad Pro sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan.

Tablet ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 12.1 inci dengan resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 144Hz dan dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7s Gen 2 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan aplikasi-aplikasi produktiviti dan riadah asas tanpa begitu banyak masalah.

Bergantung kepada keperluan anda, tablet ini hadir dengan pilihan konfigurasi memori dan storan 6GB dan 128GB ataupun 8GB dan 256GB bersama-sama dengan sistem operasi Android dengan antaramuka Xiaomi HyperOS.

Melengkapkan tablet ini ialah aksesori-aksesori papan kekunci Redmi Pad Pro Keyboard, pena Redmi Smart Pen dan penutup tablet Redmi Pad Pro Cover yang boleh dibeli secara berasingan sekiranya dimahukan.

Tablet ini juga hadir dalam beberapa pilihan warna, seperti Graphite Gray, Mint Green dan juga Ocean Blue, dan kini sudah dijual secara atas-talian dan fizikal pada harga RM1099 untuk model 6GB/128GB dan RM1499 dengan konfigurasi 8GB/256GB. Bersempena promosi jualan produk baru ini, Xiaomi Malaysia menetapkan harga model Redmi Pad Pro lebih murah pada harga RM999 sehingga 7 Julai ini.

Anda boleh membelinya di laman web Mi.com, Lazada dan juga Shopee Xiaomi Malaysia bermula hari ini.

Komen